Wednesday, November 13, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amerika Latin, Caribbean sedia hadapi musim denggi paling teruk

    WASHINGTON, 29 MAC – Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin telah memberikan amaran kepada negeri-negeri di Amerika Latin dan Caribbean agar bersiap sedia menghadapi musim denggi yang paling teruk ketika pemanasan global dan fenomena El Nino merangsang penularan epidemik yang disebarkan oleh gigitan nyamuk.

    Dalam masa kurang dari tiga bulan pada 2024, pihak berkuasa kesihatan di rantau tersebut telah mencatatkan lebih 3.5 juta kes dan 1,000 kematian akibat virus itu.

    “Mungkin ini akan menjadi musim denggi yang terburuk di kawasan ini,” kata Jarbas Barbosa, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika.

    Kes yang dicatatkan setakat ini sebanyak 3.5 juta adalah tiga kali ganda lebih banyak berbanding dengan jumlah jangkitan pada masa yang sama pada 2023, tahun rekod yang menyaksikan 4.5 juta kes, menurut Barbosa.

    Denggi, yang boleh menyebabkan demam berdarah, biasa berlaku di negara-negara yang beriklim panas dan kebanyakannya di kawasan bandar dan separa bandar.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dianggarkan antara 100 juta hingga 400 juta orang dijangkiti denggi setiap tahun walaupun kebanyakan kes adalah ringan atau tanpa gejala. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda