Kejayaan Amir Raja Lawak membeli sebuah kereta baharu hasil perniagaan menjual air di tepi jalan menjadi inspirasi buat peminat dan orang ramai.
Meskipun dibanjiri komen pujian, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 34, tetap merendah diri dan menganggap apa yang dimilikinya itu adalah hasil usaha keras selepas lebih lima tahun berkecimpung dalam perniagaan.
“Sejujurnya saya malu kalau orang kata apa yang saya miliki itu menjadi inspirasi buat mereka. Saya ini biasa-biasa sahaja, tidak pernah letak diri ini untuk jadi inspirasi kepada orang,” ujarnya.
“Apa yang saya muat naik di media sosial sekadar perkongsian sahaja. Syukur dengan rezeki yang dikurniakan ini,” katanya kepada mStar.
Sebelum ini, Amir berkongsi gambar kereta jenis Perodua Alza yang baharu sahaja dibeli menerusi Instagram hari ini.
Kata Amir, kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM80,000 itu berjaya dimiliki selepas tujuh bulan membuat tempahan. Dalam gambar tersebut, Amir juga secara berjenaka menutup dua angka nombor pendaftaran kereta seolah-olah dia berjaya membida dengan harga puluhan ribu ringgit. Meluahkan rasa syukur dan menganggap ia adalah permulaan baik bagi tahun 2023, Amir memberitahu dia memilih kenderaan jenis multipurpose vehicle (MPV) tersebut bagi kegunaan keluarga dan berniaga.
Dia juga mengakui lebih selesa hidup sederhana tanpa perlu barangan mewah meskipun usaha dalam perniagaan semakin berkembang maju. – Agensi