Jauh daripada sempurna, namun penyanyi Amira Othman percaya dengan menjaga solat dapat menyelamatkan diri daripada melakukan perkara terlarang.
Amira atau Nadia Amira Othman, 32, berkata, sejak di bangku sekolah lagi dia sudah menjaga solat kerana ia bukan sahaja kewajipan sebagai seorang Islam tetapi melindungi dirinya.
“Saya memang tak baik, saya adalah seorang pendosa tetapi apa pun kena solat. Solat itu tiang agama. Jahatlah macam mana pun kita kena solat.
“Alhamdulillah saya terapkan sejak sekolah lagi. Tidaklah saya ini bagus tapi memang kita kena solat dan ia perkara paling asas.
“Solat ini banyak menyelamatkan saya dan Alhamdulillah mak ayah memang selalu memantau. Saya sering dipantau walaupun jauh dari keluarga,” katanya.
Amira berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di podcast Ruang Cerita Zayan yang dimuat naik di YouTube.
Dalam pada itu, Amira sering mengingatkan teman-temannya mendirikan solat kerana ia mampu membawa seseorang ke jalan kebaikan.
“Kalau kita tersasar melakukan perkara jahat pun insya-Allah kita akan berpatah balik kerana banyak doa dan berkat dalam solat.
“Saya cerita ini bukan sebab saya baik tetapi saya hanya nak cakap sesusah mana pun perjalanan awda nak jadi orang baik, jagalah solat,” ujarnya. – Agensi
