KUALA LUMPUR, 9 OKT – Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya merangkul kejuaraan sulung Malaysia Purple League (MPL) musim ini selepas membenam Petaling BC 9-2 di Arena of Stars, Genting Highlands, hari ini.
Pemain Taiwan Chou Tien Chen yang juga ayam tambatan skuad itu meraih kemenangan menewaskan pemain Perancis Brice Leverdez 3-1 (11-10, 11-5, 9-11, 11-6) diikuti perseorangan wanita negara Goh Jin Wei yang meneruskan rentak cemerlang menewaskan Pai Yu-Po dari Taiwan 3-1 (11-9, 11-6, 10-11, 11-9).
Ampang Jaya mengesahkan kemenangan menerusi gandingan Indonesia Moh Reza Pahlevi-Sabar Karyaman Gutama mengecewakan Goh V Shem-Low Juan Shen 3-0 (11-9, 11-4, 11-6) untuk membawa pulang trofi dan wang tunai RM200,000.
Pengurus pasukan Voon Siaw Yie berkata beliau tidak menyangka skuad Ampang Jaya berjaya meraih gelaran MPL hari ini.
“Saya kehilangan kata-kata. Namun, hasil usaha dan semangat keyakinan yang ada pada para pemain telah membuktikan segalanya tidak mustahil untuk dikecapi.
“Sudah pasti, cabaran lebih besar menanti selepas ini iaitu untuk mempertahankan kejuaraan. Kami kini dilihat sebagai pasukan yang kuat, dan perlu bersedia untuk mengatasi sebarang tekanan selepas ini,” katanya.
Naib juara Petaling BC menerima wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala juara bertahan Puchong United BC terpaksa berpuas hati meraih tempat ketiga dengan RM60,000 berserta trofi. – Bernama