Sunday, January 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak-Anak Yatim terima sumbangan persiapan Syawal

    Oleh Sim Y. H., Salawati Haji Yahya, Syahmi Hassan & Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Dalam menyambut bulan Syawal yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi, pelbagai pihak giat berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan dalam memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Sehubungan itu, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah menandakan minggu terakhir Ramadan dengan acara pelancaran Inisiatif Hospital Mesra Ibadah di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong pada hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar, ahli-ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan PJSC serta tetamu jemputan yang lain.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Doa Arwah yang diketuai oleh Pengerusi Hospital Mesra Ibadah PJSC, Haji Ishkandar bin Haji Buntar, diikuti dengan penyerahan sumbangan kepada 36 anak yatim oleh tetamu kehormat.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim pada acara Pelancaran Inisiatif Hospital Mesra Ibadah di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyerahkan derma kepada salah seorang anak yatim di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Awang Lawi semasa menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam Projek Amal Jiwaku Ikhlas.
    Haji Hairol Mohd Daud semasa menyerahkan baucar-baucar Hari Raya kepada anak-anak yatim yang diraikan di Dewan London, Airport Mall. – Gambar serahan UNN
    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Dewan Serbaguna, Kampus UNISSA cawangan Kampung Sinaut. – Gambar serahan UNISSA
    Haji Azman semasa menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Pearl Cafe, Kampung Salar, Mukim Mentiri. – Gambar serahan RTB

    Sementara itu, seramai 28 orang terdiri daripada anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal yang telah mengikuti program-program Projek Amal Jiwaku Ikhlas yang ke-22 pada hari ini telah menerima sumbangan daripada projek Amal Jiwaku Ikhlas.

    Program tersebut telah dianjurkan oleh Kris Karmila Kreations iaitu Projek Amal Jiwaku Ikhlas dari edisi 22.1, sehingga edisi ke 22.3 dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampong (MPK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rancangan Perumahan Negara, Kampung Mentiri Kawasan II.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.

    Projek Amal Jiwaku Ikhlas kali ini mempunyai lima program yang masih sedang dijalankan di sepanjang akhir bulan Ramadan dan juga pada bulan Syawal nanti.

    Manakala seramai 118 orang anak-anak yatim yang berusia antara lima tahun hingga 15 tahun yang dikenal pasti di bawah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) pula telah menerima sumbangan baucar Hari Raya berjumlah $5,900 pada majlis anjuran pihak Unified National Networks (UNN) pada pagi tadi.

    Sementara itu, seramai 90 orang anak yatim iaitu 30 orang anak yatim bagi setiap sebuah daerah telah menerima baucar-baucar mereka melalui kaedah pandu lalu yang diadakan bermula 10 April hingga 12 April lalu.

    Manakala bahagian kedua pengagihan UNN telah dikendalikan pada majlis iftar bersama 47 orang anak-anak yatim dari Daerah Brunei Muara dan penjaga-penjaga mereka di Dewan London, Airport Mall pada 14 April lalu.

    Hadir pada majlis iftar berkenaan adalah pengarah-pengarah lembaga UNN, kumpulan pengurusan kanan UNN dan wakil-wakil dari Darussalam Asset (DA) serta ahli-ahli pengurusan kanan dan kakitangan UNN.

    Majlis penyampaian baucar-baucar Hari Raya kepada anak-anak yatim tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi UNN, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Pengarah UNN, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pengarah UNN, Hajah Amalina binti Haji Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler; Pemangku Ketua Pegawai Operasi UNN, Chris Phan dan Pemangku Ketua Sumber Manusia UNN, Dayang Roslaini binti Othman.

    Manakala kelmarin, seramai 42 orang anak-anak yatim telah diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Pearl Cafe yang berlangsung di Pearl Cafe, Kampung Salar, Mukim Mentiri.

    Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Adi Zulhazmi bin Haji Mohammad Salleh.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim yang diraikan oleh Pemangku Pengarah RTB, Haji Azman bin Haji Abdul Rahim, Pengarah Soon Lee Heavy Machinery Sdn Bhd, Ong Chee Mang, Pengurus Am Pearl Cafe, Ashley Tan dan beberapa orang persendirian. Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah projek Jalinan Kasih.

    Di samping itu, seramai 39 anak-anak yatim terdiri daripada penduduk Kampung Sinaut, Kampung Sungai Kelugos dan daripada kalangan pelajar Univeristi Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima sumbangan dalam Majlis Infaq Ramadan dan Iftar Mahabbah.

    Majlis anjuran UNISSA melalui kerjasama di antara Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) dan Fakulti Pertanian itu diadakan di Dewan Serbaguna, Kampus UNISSA cawangan Kampung Sinaut, pada pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah Pengiran Haji Hashim selaku Pemangku Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UNISSA. Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Dekan Fakulti Pertanian, UNISSA, Dr Cristalina Jalil Marsal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda