Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Anak-anak yatim terus dapat perhatian

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Syahmi Hassan, Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Anak-anak yatim di negara ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang ingin meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda dengan mengadakan majlis-majlis penyampaian sumbangan lebih-lebih lagi dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan ini.

    Hari ini, seramai 114 orang anak yatim telah menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, di mana 26 orang terdiri daripada anak yatim yang tinggal di Kampung Sengkurong A, 65 dari Kampung Sengkurong B dan 23 orang lagi Kampung Tanjung Nangka.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Kutipan derma yang akan disampaikan berkenaan adalah hasil sumbangan yang dihulurkan oleh persatuan-persatuan, orang persendirian dan juga orang ramai.

    Seramai 13 orang anak yatim di Daerah Brunei dan Muara pula menerima sumbangan pada Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Anak Yatim yang berlangsung di Surau IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Berakas, hari ini.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim pada majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, kelmarin.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di MRSB, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan penyampaian derma kepada salah seorang anak yatim di Surau IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, kelmarin.
    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim secara pandu lalu di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Haji Mohammad Rosli menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.
    Haji Mohammad Rosli menyempurnakan penyampaian derma kepada anak yatim di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
    Pegawai Daerah Brunei dan Muara turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara penerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di MRSB.
    Ungku Datin Hajjah Fanzah serta ahli-ahli kehormat, jawatankuasa dan kelab bergambar ramai bersama anak-anak yatim yang diraikan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Tutong, kelmarin. – Gambar serahan IWCB

    Hadir menyampaikan derma tersebut ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar, hari ini, seramai 34 orang anak yatim dan 10 orang anak istimewa dari Kampung Sungai Akar dan kawasan sekitarnya juga menerima sumbangan.

    Penyampaian sumbangan pada majlis yang dikendalikan masjid berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Sementara itu, seramai 37 orang anak yatim dan 37 orang kurang berkemampuan yang tinggal di Kampung Jerudong telah menerima derma pada Majlis Makan Malam Tujuh Sekampung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong, yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Jerudong B (MPK JB) bersama Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN) dan Penerima Pencen Umur Tua Kampung Jerudong B.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz. Turut hadir selaku jemputan khas ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim.

    Bantuan kewangan dan barang ke-perluan asasi tersebut disumbangkan oleh pelbagai pihak dan organisasi sukarela terdiri daripada MPK JB, WARISAN, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan WARISAN, Bellaziz Holdings, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA), Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) dan Kumpulan Amal Jariah Brunei yang disampaikan oleh wakil masing-masing.

    Majlis penyampaian derma juga telah diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, kelmarin, di mana 16 orang anak yatim dari Jalan Bebatik Kilanas menerima sumbangan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampai-an derma pada majlis anjuran ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Kilanas itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Acara diselajurkan dengan majlis khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan dan juga penyampaian cenderahati kepada pembaca-pembaca Al-Quran di malam bulan Ramadan.

    Manakala itu, di Daerah Tutong, Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam (IWCB) telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada lebih kurang 120 anak yatim dari Daerah Tutong, di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, hari ini.

    Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Presiden IWCB, Ungku Datin Hajjah Fanzah binti Haji Osman, ahli-ahli kehormat, jawatankuasa dan kelab.

    Di samping itu, beberapa orang ahli IWCB juga bermurah hati memberikan sumbangan peribadi mereka untuk acara tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...