Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak bongsu Lee Kuan Yew mohon robohkan rumah di 38 Oxley Road

    SINGAPURA, 15 OKT – Lee Hsien Yang, anak bongsu kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, mengumumkan beliau akan memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road, hampir seminggu selepas kematian kakaknya, Dr Lee Wei Ling.

    “Bagi menghormati hasrat terakhir ibu bapa saya, saya akan memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road dan seterusnya membina kediaman kecil peribadi, yang akan kekal dimiliki ahli keluarga sahaja,” kata Hsien Yang dalam hantaran Facebook hari ini, sambil menegaskan bahawa dirinya adalah pemilik sah tunggal rumah itu.

    Wei Ling tinggal di rumah itu sehingga dia menghembuskan nafas terakhir pada 9 Oktober lalu.

    Rumah itu pernah menjadi kediaman Lee Kuan Yew sejak 1940an sehingga kematiannya pada 2015, menjadi punca perbalahan antara anak sulungnya, Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan dua adiknya berhubung isu penggunaan serta perobohan rumah bersejarah itu.

    Hsien Yang, 67, menyatakan bahawa beliau kini satu-satunya wasi atau pelaksana wasiat bapanya yang masih hidup selepas pemergian Wei Ling.

    “Dalam wasiatnya, bapa saya ingin rumah itu dirobohkan segera selepas Wei Ling berpindah.

    Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan hasrat itu sepenuhnya mengikut undang-undang.

    “Lee Hsien Loong menyatakan di Parlimen pada 2015 bahawa selepas Wei Ling meninggal, keputusan sama ada untuk membenarkan perobohan rumah itu terpulang kepada ‘kerajaan pada masa itu’.

    Sembilan tahun berlalu dan hari itu telah tiba,” katanya.

    Rumah itu mempunyai kepentingan sejarah kerana di ruang makan bawah tanahnya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) ditubuhkan pada 1954 dan ia juga menjadi pejabat de facto parti itu sehingga PAP mempunyai ibu pejabatnya sendiri. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda