Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak cimpanzi terancam, perlu perlindungan

    CAMEROON – Cimpanzi dewasa, dalam beberapa aspek, mempunyai persamaan dengan manusia.

    Haiwan itu tinggal bersama ibunya sehingga usia remaja, kadangkala bersikap nakal, dan sebagai haiwan sosial ia sukar bertahan hidup sendirian tanpa bimbingan untuk belajar berdikari.

    Apabila pemburu haram membunuh ibu cimpanzi untuk dijadikan makanan, mengurung anak cimpanzi untuk perdagangan sebagai haiwan eksotik, atau habitatnya dimusnahkan untuk menanam kelapa sawit komersial, anak cimpanzi yang kehilangan keluarga itu memerlukan bantuan segera.

    Di Cameroon, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Papaye International, menyediakan tempat perlindungan bagi haiwan terancam itu di tiga pulau di Taman Negara Douala-Edea.

    “Cimpanzi di tempat perlindungan ini ialah cimpanzi yang mempunyai sejarah tragis akibat pemburuan haram, penebangan hutan, dan keluarganya dibunuh,” kata ketua organisasi kebajikan tersebut, Marylin Pons Riffet, 57, yang berasal dari Perancis.

    Tchossa, semasa berada di tempat perlindungannya yang terletak di kawasan Papaye International dalam Taman Semula Jadi Douala-Edea, Marienberg. – AFP
    Ketua pertubuhan Papaye International, Marylin (kanan), berbincang dengan rakan sejawatannya, Rohmay Ndoulek, semasa lawatan di Taman Semula Jadi Douala-Edea, Marienberg. – AFP
    Ndoulek (tengah) dan Moudoungue (kanan) memegang tangan Conso, untuk membawanya menaiki bot bagi aktiviti harian. – AFP
    Moudoungue (kiri) dan Elimbi memberikan makanan kepada cimpanzi di sebuah pulau di Taman Semula Jadi Douala-Edea, Marienberg, pada 14 Disember 2024. – AFP
    Seorang kakitangan pertubuhan Papaye International sedang menyediakan buah-buahan sebelum sesi lawatan bersama cimpanzi yatim di Taman Semula Jadi Douala-Edea, Marienberg. – AFP

    “Kami hanya menerima anak cimpanzi yang kehilangan ibunya, yang masih muda dan memerlukan bantuan manusia setelah melalui pengalaman diburu atau habitatnya dimusnahkan,” katanya kepada AFP.

    Papaye International membantu anak-anak cimpanzi itu menyesuaikan diri untuk bertahan hidup dalam persekitaran separa liar di pulau-pulau yang jauh daripada pemangsa utama — manusia, yang berkongsi 98 peratus DNA dan tingkah laku dengan haiwan tersebut.

    Populasi cimpanzi biasa, yang dahulunya hidup di 26 negara di kawasan khatulistiwa di Afrika, telah merosot dengan ketara sejak 1980an dan kini berada pada risiko kepupusan di habitat liar.

    PENJAGA CIMPANZI

    Fabrice Moudoungue, penjaga berusia 39 tahun, menaiki bot setiap hari untuk membawa makanan ke tiga pulau berhutan hujan di Sungai Sanaga, tempat tinggal 34 ekor cimpanzi yang dijaga oleh NGO Papaye International.

    “Di sini, Water Lily! Di sini, Star!” sahutnya.

    Cimpanzi-cimpanzi itu, yang mengenali suaranya, berlari di sepanjang tebing Pulau Yakonzo-Okokong menuju botnya dan memeluknya apabila dia berjalan ke darat dengan membawa pisang, kelapa, tomato, dan buah kurma.

    “Haiwan-haiwan itu bukan hanya seperti keluarga saya, ia adalah keluarga saya kerana kami menghabiskan setiap hari bersama-sama,” katanya sambil tersenyum.

    Cimpanzi biasanya takut kepada manusia dan boleh menjadi agresif apabila terancam, terutama jika ia pernah didera semasa dalam kurungan.

    Namun, hubungan mesra yang dilakukan setiap hari oleh Moudoungue dan pasukan di tempat perlindungan itu berjaya memperoleh kepercayaan haiwan tersebut.

    “Ini adalah cimpanzi muda yang kami bebaskan kira-kira empat hingga lima tahun lalu.

    Kami kerap melawatnya untuk mengekalkan hubungan, supaya jika ada yang jatuh sakit, ia masih menerima kehadiran kami,” kata pengurus tempat perlindungan, Francois Elimbi.

    Ketika tiba di Pulau Yatou, Honey, seekor cimpanzi betina dewasa, memeluknya erat dengan tangan hitam panjangnya.

    Cimpanzi itu dilepaskan di pulau tersebut pada 2019 selepas hampir 10 tahun menerima rawatan di tempat perlindungan.

    “Ia sukar dijelaskan, sangat menyentuh perasaan. Awda rasa seram sejuk apabila seekor cimpanzi memeluk awda. Itu bermakna ia masih mengenali awda. Awda adalah kawannya,” kata Elimbi.

    PEMULIHAN

    Tchossa dan Conso masih terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk dilepaskan ke pulau.

    Kedua-duanya ditempatkan di kurungan besar berhampiran kediaman penjaga di Pulau Yatou. Di situ, haiwan-haiwan itu bermain di buaian dan tidur di buaian gantung sambil menunggu sesi berjalan harian bersama kakitangan untuk meneroka semula hutan.

    Alioum Sanda, 67, mempunyai hubungan istimewa dengan Conso.

    “Ia mempunyai tanda bekas dikurung kerana selepas pemburu haram membunuh ibunya, anak cimpanzi ini tidak mempercayai mereka, jadi dia dibelenggu,” katanya sambil menunjukkan bekas parut pada tubuh cimpanzi itu.

    Sanda mengenang perubahan Conso sejak tiba di tempat perlindungan.

    “Ia sangat agresif disebabkan penderaan yang dialaminya ketika berada di Douala. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan sebelum haiwan ini mempercayai saya,” katanya.

    “Saya memasangkan lampin padanya. Saya membersihkan lukanya,” ujarnya.

    Conso, yang kini pulih sepenuhnya, menari-nari kegirangan apabila menyedari masa untuk keluar berjalan hampir tiba.

    Sanda memegang tangannya yang kecil dan kurus.

    “Jika kita tidak melakukan apa yang sedang kita lakukan, haiwan-haiwan ini akan lenyap,” katanya perlahan.

    “Kemudian, kita hanya boleh berkata bahawa pernah wujud seekor haiwan bernama cimpanzi.

    “Kita mesti memeliharanya supaya generasi akan datang — cucu-cucu kita — dapat melihat haiwan-haiwan tersebut juga,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda