Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Anak ghaib ketika bersalin

    Oleh Amingi Aming

    Kakakku sarat mengandung. Hanya menunggu masa sahaja hendak bersalin. Kalau mengikut jangkaan doktor, anak damit kakakku akan lahir sekitar 18 atau 19 Jun tetapi jangkaan doktor tetap jangkaan. Tiada yang tetap atau betul.

    Kak Ain sudah terasa sakit perut tanda sakit hendak melahirkan. Kak Ain tidak perlu lagi bersalin di hospital kerana ini bukanlah perkara baru bagi Kak Ain. Sudah tiga orang anaknya, kesemuanya perempuan. Dan kali ini Kak Ain mengharapkan untuk melahirkan anak damit lelaki. Tetapi bagi Kak Ain yang penting ialah Kak Ain dan anak damitnya selamat dan moga-moga anak damitnya selamat sempurna.

    Sekitar pukul 5 petang 16 Jun 76, senja mula menjelma dan di sebalik kesibukan, Kak Ain mula mengerang sakit perut. Emak dan ayah mula resah kerana ini adalah kali pertama Kak Ain bersalin di rumah ayah. Kami adik-beradik kadang-kadang tersenyum sinis memandang. Kak Ain mempunyai perut sebegitu besar. Selepas Maghrib, barulah nini Haji dan nini bini datang. Tapi kemunculan bidan kampung belum tiba.

    “Sekejap lagi ada tia karang tu…sabar saja tah”. Ayah mula menenangkan emak yang mula bimbang kelewatan bidan Siah (bidan kampung). Hujan turun sekitar masuk waktu Isyak. Longkang rumah mula basah. Nini bini mula mengurut perut Kak Ain dengan minyak piasau. Nini Haji pula menghisap rokok Brunei di bilik tamu bersama ayah. Emak pula sibuk menyiapkan barangan keperluan seperti talam dan sebagainya.

    Sejak dari awal lagi ayah memberi amaran kepada ibu supaya jangan dibising-bisingkan Kak Ain hendak beranak. Katanya lagi jika kami melanggar larangan ini, ditakuti pontianak akan menjelma dan memakan darah orang yang bersalin.

    Gambar Freepik

    Aku cuba mengintai kelibat bidan di celah jendelaku yang kebetulan laluan ke rumah kami.

    Kami adik-beradik tidak dibenarkan keluar bilik masing-masing oleh ayah. Setelah dua tiga kali mencelah, akhirnya bidan mula muncul di dalam kegelapan. Waktu dulu, mana ada lampu picit, hanyalah lampu minyak tanah saja. Bidan Siah memegang lampu minyak tanah di tangannya dan sebelah kiri membawa bakul, barangkali berisi peralatan perbidanan.

    Pintu rumah diketuk lembut. Aku meluru keluar untuk mempersilakan bidan masuk. Tapi, ayah dan nenek sudah berada hadapan pintu dan mempersilakan bidan Siah masuk. Jam sudah menunjukkan 15 minit lagi pukul 9 malam. Aku mula merasa mengantuk dan membaringkan badanku di katil kayu. Belum lama aku beradu, aku dikejutkan oleh lelaki tua memakai serban putih menunduki aku.

    “Mengapa… nini Haji? Aku mula menbangunkan badanku yang baru saja ku baringkan.

    “Buatkan aing (air) bu Siah mu atu lai…” aku masih belum bergerak. Badanku terasa mengantuk dan letih betul. Nini Haji memupuk pangkal ketiak sebelah kananku berkali-kali.

    Tidak lama selepas itu barulah segar badanku sikit. Itu petua menghilangkan rasa mengantuk dan nini Haji selalu mengamalkannya. Lalu aku menuju ke bilik Kak Ain untuk melihat berapa ramai tetamu datang pada masa itu. Aku lihat emak dan bidan Siah berbual mesra, Kak Ain sedang lena tidur sambil perutnya diurut oleh perempuan berbaju kuning.

    Perempuan itu berumur sekitar awal 50’an dan tangannya sibuk memutar dan mengurut perut Kak Ain. Aku tinggalkan mereka dan berlalu menuju ke dapur melakukan apa yang disuruh, aku mengangkat talam berisi kopi dan kuih ardam menuju ke bilik Kak Ain.

    Aku terus sahaja ke ruang tamu dan meletakkan beberapa cawan untuk ayah, nini Haji dan beberapa orang kampung dan sanak saudara yang hadir. Selepas dari bilik tamu, aku masuk ke bilik Kak Ain dimana emak, bidan Siah dan Kak Ain saja yang tinggal.

    “Ma…mana tia bini-bini tadi, ah?!!” Emak dan bidan Siah mengerutkan dahi tanda tidak faham.

    “Bini-bini tadi yang mengurut perut Kak Ain!” Dahi mereka masih berkerut.

    Tiba-tiba emak dan bidah Siah senyum kambing dan saling memandang sesama sendiri.

    Sekarang…aku yang tak faham. Mengapa mereka tersenyum? “Bukannya paibunan ni beranak ahh.” Emak mencelah dari deretan senyuman mereka.

    Mereka fikir aku main-main pula. Aku rasa tak puas hati dan apa yang aku lihat memang benar, bukannya khayalan.

    Tidak lama selepas itu, Kak Ain ‘terlalai’ sekejap mula bergerak. Aku menoleh ke arahnya dan melemparkan senyum kambing sambil mulut ku munjung ke perutnya yang labu atau kembung. Kak Ain hanya menjeling ke arah ku. “Ma…nyaman rasanya orang tadi mengurut atu, siapa kan tuu?…” Kak Ain memulai percakapannya.

    Kini emak dan bidan Siah percaya tentang kehadiran seorang wanita berbaju kuning mengurut perut Kak Ain tanpa disedari oleh bidan Siah dan emak sendiri.

    Emak mulai gelisah kalau ada apa-apa yang terjadi ke atas Kak Ain. Wanita tidak dikenali itu cukup menaikkan uri emak dan ayah. Mereka mula mengetatkan pengawal di sekeliling rumah. Mengharapkan Kak Ain bersalin dengan selamat, sembahyang hajat dilakukan oleh kaum lelaki sementara menunggu saat bersalin.

    Kak Ain yang baru sahaja terbangun tadi mula tidur semula. Emak dan bidan Siah taat menunggu dan kini mereka kurang berbual, hanya mulut terkumat kamit membaca sesuatu. Aku di anjung katil memerhatikan kerenah mereka sambil mulutku memakan ardam.

    Saat demi saat, minit demi minit dan jam demi jam berlalu, tapi Kak Ain tetap lena tidur tanpa mengadu hendak bersalin walaupun bidan Siah lama menanti. Setelah siang menjelma, kami sekeluarga terkejut melihat perut Kak Ain yang ganjil. Keganjilan itu kami sekeluarga semakin merasakannya kerana perut Kak Ain yang semakin mengecil.

    Semacam Kak Ain sudah melahirkan tetapi anak damitnya tidak dijumpai, malah darah persalinan pun tidak ada.

    Bidan Siah memeriksa perut Kak Ain ternyata anak damit di dalam kandungan hilang di dalam perut Kak Ain sendiri. Kak Ain mula menangis, suasana pilu menyelubungi keluarga kami.

    Ayah mula berikhtiar menjumpai bomoh kampung bertanyakan kandungan Ain, anaknya.

    Rata-rata yang menjawab anak damit di dalam kandungan Kak Ain telah diambil oleh makhluk halus. Ini, kerana, Kak Ain pernah terlepas cakap tentang jantina anaknya.

    Kak Ain pernah berkata ia akan membuang anak damitnya ke sungai belakang rumah jika anak dikandungnya berjantina perempuan. Sebenarnya Kak Ain hanya bergurau tanpa bermaksud demikian. Tetapi percakapnnya telah mungkin didengar oleh makhluk halus.

    Berkemungkinan makhluk menyangka Kak Ain benar-benar bermaksud sedemikian.

    Sehingga kini kehilangan anak damit Kak Ain belum terjawab.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...