Saya ingin meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat swasta tempatan yang lebih cenderung untuk mengambil pekerja dari luar negara berbanding memberikan peluang kepada anak tempatan di Brunei. Adakah Brunei sudah kekurangan anak tempatan? Adakah anak tempatan Brunei tidak mempunyai kelayakan? Atau mungkin pengangguran di Brunei sudah stabil?
Tindakan tersebut mencerminkan ketidakadilan dalam memberikan peluang pekerjaan kepada warganegara sendiri. Anak tempatan harus diberikan peluang yang setara dan adil untuk memasuki pasaran kerja tempatan. Namun, dengan lebih mendahulukan pekerja dari luar, pihak berkenaan sedang mengekang kemajuan dan pembangunan bakat tempatan.
Kekecewaan saya semakin memuncak apabila kebanyakan pekerja dari luar negara diberikan keutamaan untuk memegang jawatan tinggi, malah menjadi ketua jabatan di setiap bahagian syarikat tersebut dan diberi elaun khas.
Saya mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan memperketat dasar-dasar yang berkaitan dengan pengambilan pekerjaan oleh syarikat swasta tempatan. Ini termasuk memberikan insentif kepada syarikat yang memberikan keutamaan kepada anak tempatan serta meningkatkan kerjasama dengan institusi pendidikan tempatan untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti.
Selain itu, langkah-langkah perundangan perlu diperkuatkan bagi memastikan bahawa pekerja asing hanya diambil jika langsung tiada calon tempatan yang sesuai untuk jawatan tersebut. Sebagai kesimpulannya, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa anak tempatan di Brunei memperoleh peluang yang setara dan adil.
Minah
