Tuesday, December 24, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak Tiger Woods cipta kejutan

    ORLANDO, 23 DIS – Anak Tiger Woods, Charlie, mencipta detik gemilang di Kejohanan PNC apabila mencatat hole-in-one pertamanya pada usia 15 tahun. Woods berasa lebih teruja berbanding apabila dia sendiri yang melakukannya.  
     
    “Itu adalah pengalaman sekali seumur hidup untuk menyaksikan detik ini bersama Charlie, saat dia mencatat hole-in-one pertamanya,” kata Woods.  
     
    Charlie menggunakan 7-iron dan memukul sejauh 175 ela di lubang keempat par-3 di Ritz-Carlton Club Orlando dalam pusingan akhir kejohanan yang menyaksikan pasangan juara utama bermain bersama ahli keluarga.  
     
    Pukulan tersebut menjadi kunci dalam skor 15-bawah-par 57 dalam format scramble, hampir membawa kemenangan kepada Pasukan Woods, sehinggalah Bernhard Langer membenam eagle dari jarak 18 kaki untuk menewaskan mereka dalam playoff.  
     
    Charlie sendiri tidak menyedari bola masuk ke dalam lubang. Sorakan meriah daripada penonton di sekitar padang serta kumpulan peminat lain di seberang padang – ada yang menunjukkan isyarat jari ke bawah tanda bola masuk dan ada yang ke atas tanda skor – akhirnya mengesahkan pencapaiannya melalui rakaman kamera televisyen.
     
    “Seronok betul apabila ayah ada di sana,” katanya. “Ia sangat menyeronokkan. Ia hanyalah pukulan 7-iron yang sempurna… Sudah tentu, saya tidak sempat melihat ia masuk. Jadi, itu agak mengecewakan. Tetapi tidak mengapa.”  Woods memberikan pelukan erat kepada anaknya, sebagai tanda kegembiraan.  
     
    “Kami mendengar sesuatu di green di sebelah kanan dan kiri, tetapi kami benar-benar tidak pasti sehingga TV mengesahkannya. Dan kami berasa amat teruja,” kata Woods. “Saya tidak tahu apa yang kami lakukan, tetapi kami menikmatinya. Ia adalah detik yang sukar dipercayai.”  
     
    Ia adalah tahun kelima berturut-turut Woods dan anaknya bermain dalam kejohanan 36 lubang itu dan kali kedua mereka berakhir sebagai naib juara. – AP
     
    Reaksi Charlie Woods bersama kedi Luke Wise, selepas mencatat hole-in-one di lubang keempat semasa pusingan akhir Kejohanan PNC, di Orlando, Florida, pada 22 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda