Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Anakkita.cookies perkasa anak-anak istimewa

    KUALA LUMPUR – Tidak ada yang lebih membanggakan bagi mereka yang bergelar guru daripada melihat anak didik mereka cemerlang dalam bidang akademik dan berjaya dalam profesion yang diceburi.

    Begitu jugalah harapan Intan Hazlina Shamsul Badri, 43, guru pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di Kamunting untuk melihat pelajarnya yang terdiri daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya sepertimana pelajar lain.

    Namun, menurut anak kelahiran Ipoh, Perak, ini, apa yang dialami oleh pelajarnya adalah jauh daripada apa yang diharapkan.

    Sepanjang kira-kira 14 tahun menjadi guru pendidikan khas, kebanyakan bekas pelajarnya yang merupakan OKU pembelajaran seperti lembam, autisme, sindrown down, Adhd (Attention Deficit Hyperactivity Disorder atau Kecelaruan Tumpuan dan Hiperaktif) selain pekak dan bisu, bukan sahaja sukar mendapat pekerjaan, malah turut menjadi mangsa diskriminasi.

    Di tempat kerja, mereka tidak dilayan dengan adil, tidak dihormati serta berdepan dengan stigma bukan sahaja daripada majikan, malah rakan sekerja bahawa golongan OKU tidak berupaya menghasilkan kerja terbaik.

    Intan Hazlina Shamsul Badri bersama pekerja OKU yang juga bekas anak didiknya. – Bernama
    Pekerja OKU di anakkita.cookies turut berpeluang mengadakan jualan di karnival anjuran agensi kerajaan. – Bernama
    Anakkita.cookies kini mempunyai bakeri sendiri yang beroperasi di Jalan Tupai dan sambutan diterima begitu memberangsangkan. – Bernama
    Pelatih OKU di anakkita.ccokies diberikan peluang untuk belajar embuat pelbagai biskut sekaligus dapat menjana pendapatan. – Bernama
    Pemilik anakkita.cookies berhasrat untuk memiliki kilang pertama yang dapat menggajikan pekerja OKU sepenuhnya. – Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    “Mereka mengadu sering dibuli dan kebanyakannya tiada majikan yang berani menggajikan OKU, selain ada juga majikan yang tidak membayar gaji. Atas dasar itu, saya nekad mengambil inisiatif menyediakan tempat serta peluang untuk bekas pelajar saya belajar dan bekerja,” katanya yang kini menetap di Taiping (Perak) ketika dihubungi Bernama.

    Memulakan perusahaan membuat pelbagai jenis biskut pada Julai 2020 yang dijenamakan dengan anakkita.cookies, tekad Intan Hazlina untuk membantu golongan istimewa ini akhirnya membuahkan hasil apabila perniagaan yang bermula di rumah berkembang maju.

    Anakkita.cookies kini mempunyai bakeri sendiri yang beroperasi di Jalan Tupai dan sambutan diterima begitu memberangsangkan sehingga turut mendapat permintaan dari luar Perak, sekali gus membuktikan hasil kerja anak-anak istimewa ini juga berkualiti, menepati cita rasa dan mereka juga mampu berdikari sekiranya diberi peluang.

    KUALITI BUKAN SIMPATI

    “Antara faktor yang turut mendorong saya memulakan perniagaan ini adalah semasa diuji dengan kehilangan anak keempat pada tahun 2018 yang baharu berumur satu tahun 11 bulan kerana masalah kesihatan tetapi saya perlu bangkit, terus kuat.

    “Syukur ketika ini, kami memiliki 20 pelatih OKU sepenuh masa iaitu 14 lelaki, enam wanita yang berusia lingkungan umur 17 hingga 36 tahun dan mereka tinggal di sekitar Taiping. Menjadi harapan saya memiliki kilang pertama yang dapat menggajikan pekerja OKU sepenuhnya,” katanya.

    Hakikatnya, bukan mudah untuk wanita ini mencapai ke tahap yang dinikmati sekarang.

    Mengakui awal perjalanan perniagaannya, sambutan diterima agak perlahan disebabkan kekangan masanya sebagai seorang guru selain turut berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.

    Beliau yang ketika itu baharu sahaja menandatangani perjanjian sewa kedai dan membayar deposit serta utiliti selama tiga bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, hanya mampu bertahan selama tiga bulan dan akhirnya terpaksa beroperasi di rumah bagi mengelakkan kerugian barang mentah yang telah dibeli.

    Biarpun begitu, ini bukan penghalang bagi Intan Hazlina yang tidak putus semangat untuk membantu anak didiknya sehingga beliau memiliki bakerinya sendiri yang diusahakan sepenuhnya oleh golongan OKU dan mendapat respons daripada seorang pempengaruh terkenal di media sosial.

    “Sejak itu, tempahan diterima banyak, sampai kami tidak menang tangan. Kebanyakannya daripada pelanggan kawasan sekitar, agensi kerajaan dan swasta. Kami juga banyak menerima tempahan dari luar Perak melalui penjualan dalam talian.

    “Apabila banyak tempahan, rakan-rakan saya yang juga guru turut menjadi sukarelawan dan membantu kami,” katanya yang memulakan perniagaan berkenaan dengan modal sebanyak RM50,000 menerusi pinjaman peribadi serta bantuan daripada keluarga.

    Menghasilkan pelbagai jenis biskut seperti signature cookies, sea salt choc chips, bangkit cheese, cranberries cornflakes, roti dan kek, ibu kepada lima orang cahaya mata ini amat menitikberatkan kualiti dan agar biskut yang dihasilkan pekerjanya itu menepati cita rasa pelanggan.

    Malah, beliau tidak mahu masyarakat membeli biskut yang dihasilkan atas alasan simpati dan kerana itu Intan Hazlina nekad mengubah stigma yang melabelkan produk OKU sebagai ‘kelas bawah’, di samping ada yang berpandangan sinikal dan menganggapnya menggunakan golongan tersebut untuk mengaut keuntungan.

    BUKAN MUDAH

    Biarpun gembira dengan pencapaian anakkita.cookies, namun wanita ini mengakui bukan mudah untuk mengendalikan pekerja kurang upaya kerana ia menuntut kesabaran tinggi dalam mengajar serta melatih mereka.

    Malah, bukanlah situasi yang asing apabila kesemua biskut dihasilkan mereka rosak kerana tidak masak, tidak gebu dan keras disebabkan ada yang menutup gas ketuhar gelombang mikro (oven) terlalu awal hanya semata-mata ingin menjimatkan penggunaan elektrik.

    Selain ada yang terlalu komited bekerja sehingga tidak mahu cuti dan balik ke rumah selepas waktu kerja, namun kesemua ragaman pekerja itu dihadapi dengan tenang.

    “Hanya pada peringkat awal sahaja pekerja tidak faham arahan kerana mereka tidak bertanya, bertindak sendiri, lambat menguasai, tidak panjang akal sehingga saya terpaksa menanggung kerugian bahan mentah, sumber manusia, masalah mengamuk tiba-tiba dan kesihatan.

    “Saya juga berdepan masalah produktiviti apabila mereka hanya mampu menyiapkan tidak lebih 20 balang biskut dalam tempoh lapan jam bekerja dan kerana itu konsep buddy dipraktikkan. Ibu bapa juga akan dipanggil untuk berbincang sekiranya ada masalah disiplin dalam kalangan mereka,” katanya.

    Menurut wanita ini, konsep buddy yang diperkenalkan itu banyak membantu meningkatkan kemahiran pekerjanya apabila pasangan yang cekap akan diberi amanah untuk menjadi mentor dan membantu mereka yang lemah.

    Tempoh dua tahun diambil untuk melatih pekerja OKU mahir sepenuhnya dalam tugasan masing-masing, namun wanita ini yang turut dibantu seorang penyelia sepenuh masa di kedai untuk kerja pengurusan dan penghasilan biskut berkata, mereka masih lagi belum mahir dengan kerja pembungkusan.

    Kesungguhan Intan Hazlina membantu golongan istimewa ini akhirnya turut menarik perhatian dua ikon terkenal dalam dunia perniagaan iaitu Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN), Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan Pengasas Tuu Dia Paktam, Ruslin Ibrahim, yang memberi ruang untuk anakkita.cookies dipasarkan di premis mereka.

    “Produk kami dipasarkan di MYDIN semasa musim perayaan selain turut boleh didapati di kafe Tuu Dia Paktam cawangan Selayang serta Hospital Putrajaya.

    “Mentor kami adalah chef selebriti Anne Idris atau nama sebenarnya Siti Saleha Idris yang kerap mengunjungi kedai dan memberi suntikan motivasi serta bimbingan dalam dunia perniagaan,” katanya sambil menambah anakkita.cookies juga dilantik sebagai penyedia latihan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk OKU.

    Intan Hazlina optimis dengan perniagaan yang diusahakannya itu dan berharap produk keluaran anakkita.cookies boleh dijual di pasar raya seluruh Malaysia.

    Beliau juga berharap agar lebih ramai yang akan dapat melakukan usaha yang sama dalam memberi peluang dan platform untuk golongan OKU mendapat pekerjaan, yang sudah tentunya membantu mengurangkan kerisauan ibu bapa mereka akan masa depan anak-anaknya.

    Golongan OKU, tambahnya, juga wajar mendapat hak untuk bekerja, berdikari serta diterima masyarakat dan stigma komuniti istimewa ini membebankan perlu dihakis.

    “Walaupun gembira dengan pencapaian ini, namun saya tidak boleh terlalu lega kerana ramai lagi OKU yang memohon kerja tetapi tidak dapat dipenuhi kerana kekangan di tempat saya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...