Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jatuh cinta dengan kimono

    Oleh Yoko Tanimoto –

    JEPUN – Sheila Cliffe berpindah dari Britain ke Jepun 38 tahun lalu selepas jatuh cinta dengan kimono. Hari ini, beliau telah menjadi seorang pempengaruh kimono dan memakai pakaian tradisional ini dengan penuh santai dan bergaya.

    Cliffe, yang berusia 62 tahun, turut memperkenalkan budaya Jepun tradisional kepada orang ramai sama ada di dalam dan luar negara Jepun, walaupun amalan-amalan sedemikian semakin surut daripada kehidupan seharian.

    Saya telah melawat Cliffe di rumahnya di Tokyo pada akhir Ogos. Beliau menyambut saya dengan memakai kimono dari sutera Tango Chirimen, yang mempunyai corak bunga biru, ungu, dan warna lain.

    “Kimono ini adalah salah satu yang paling saya gemari,” kata Cliffe dalam bahasa Jepun yang fasih. “Sebuah kilang di wilayah Kyoto telah menjalin kain ini khas untuk saya dengan menggunakan 21 warna benang.”

    Cliffe turut memakai obi perak, tali sabuk obijime berwarna biru muda, dan klip hiasan obidome dengan motif penguin, yang sepadan dengan kimono dan menyegarkan mata.

    Cliffe memadankan kimono dengan kemeja, skirt labuh dan kot. – GAMBAR SERAHAN SHEILA CLIFFE
    Cliffe memakai kimono dengan but merah jambu. – Gambar serahan Sheila Cliffe
    Sheila Cliffe bergambar di Tokyo dalam kimono dibuat daripada sutera Tango Chirimen. – Yomiuri Shimbun

    Anting-anting merah besar menambahkan sentuhan moden.

    Cliffe mengatakan beliau memakai kimono setiap kali berjumpa dengan orang. Beliau pertama kali datang ke Jepun semasa cuti musim panas pada usia 24 tahun. Beliau terpesona dengan kecantikan sehelai nagajuban merah – iaitu pakaian dalam panjang untuk kimono – yang beliau temui di pasaran barang antik. Ini segera membawanya untuk belajar kimono di Jepun dan beliau kemudiannya menghadiri sebuah sekolah kimono, sambil bekerja sebagai guru bahasa Inggeris.

    Beliau juga menulis tesis PhD dengan University of Leeds mengenai kajian kimono, yang telah memberikan kefahaman mendalam tentang sejarah pakaian itu, kawasan pengeluaran kain kimono yang pelbagai, serta teknik penenunan dan pewarnaan, semasa mengajar di sebuah universiti Jepun.

    “Melalui kimono, saya dapat melancong ke seluruh Jepun dan memahami gaya hidup dan budaya Jepun. Kimono adalah guru saya,” kata Cliffe.

    Kira-kira lima tahun yang lalu, beliau mula memuat naik maklumat mengenai kimono di Instagram, dengan harapan untuk berkongsi daya tarik kimono ini dengan orang bukan Jepun.

    Alangkah terkejutnya dia melihat ramai orang Jepun yang mengambil perhatian terhadap pemakaian kimono yang berwarna-warni dan unik olehnya. Beliau mula mendapat permintaan untuk muncul di televisyen dan muncul dalam majalah. Beliau turut menerbitkan buku gambar.

    Walaupun Cliffe mematuhi peraturan dalam cara mengikat tali obi dan memakai kimono, beliau sering mencipta pakaian baru dengan menambah aksesori dan item yang sering direka untuk pakaian Barat.

    Contohnya, beliau memilih topi dan aksesori yang sepadan dengan warna dan corak kimono. Beliau juga memakai but kasut atau pump, bukan alas kaki biasa untuk kimono.

    Dan kadang-kadang, beliau memakai jaket bergaya Barat. Jika kimono itu pendek, beliau mungkin memakai skirt panjang di bawahnya supaya tampak di bahagian bawah.

    “Kimono berfungsi melalui penambahan. Saya suka memakai kimono tanpa mencipta halangan antara kimono dan pakaian gaya Barat,” kata beliau.

    KIMONO HANYA UNTUK ACARA KHAS

    Hari ini, ramai orang Jepun hanya memakai kimono apabila menghadiri acara istimewa, seperti upacara dewasa atau perkahwinan. Pada tahun lalu, syarikat penjualan kimono CommonStyle menjalankan tinjauan dalam talian ke atas kira-kira 1,000 lelaki dan wanita dalam kumpulan umur 20-an hingga 40an. 31 peratus daripada yang berusia 20-an, 40 peratus daripada yang berusia 30-an, dan 45 peratus daripada yang berusia 40-an mengatakan mereka tidak pernah memakai kimono.

    Namun, di luar negara, kimono semakin menarik minat. Pameran kimono berskala besar diadakan di muzium seni di London dan Paris antara tahun 2020 dan tahun lalu.

    Anime Jepun turut membantu memupuk peminat kimono di Britain, Amerika Syarikat (AS), Australia, dan negara-negara lain.

    Sesetengah orang membeli kimono dalam talian dan berkongsi pembelian mereka di acara-acara dan media sosial.

    Pada awal September, Cliffe pergi ke AS untuk memberi ceramah tentang kimono atas permintaan sebuah galeri di New Mexico.

    “Kimono akan lenyap jika kita hanya cuba melindunginya. Sebagai penyokong kimono bukan Jepun, saya mahu menyampaikan keindahan dan daya tariknya dengan cara saya sendiri,” kata Cliffe, matanya bersinar. – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...