MADRID, 29 APRIL – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti dilaporkan akan ambil alih pasukan kebangsaan Brazil.
Beberapa media Sepanyol kelmarin melaporkan bahawa jurulatih veteran Real Madrid itu telah bersetuju untuk mengambil alih pasukan kebangsaan Brazil. Walaupun dia masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama gergasi Sepanyol itu.
Kekalahan suku akhir Liga Juara-Juara kepada Arsenal dan kekalahan di Copa del Rey kepada Barcelona telah mempercepatkan pemergiannya dari Santiago Bernabeu.
Ancelotti, yang tidak menafikan kemungkinan akan meninggalkan kelab, berkata masa depannya adalah ‘topik untuk minggu-minggu akan datang’ selepas kekalahan kepada Barca pada Sabtu lalu.
Menurut laporan, Ancelotti dijangka memimpin Brazil menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 yang bermula Jun ini, dan akan meninggalkan Real Madrid sebelum Piala Dunia Kelab yang dijadualkan di Amerika Syarikat musim panas ini.
Brazil memecat jurulatih Dorival Junior selepas kekalahan memalukan 4-1 kepada Argentina pada Mac, dan kini berada di tangga keempat dalam kelayakan zon Amerika Selatan.
Ancelotti sebelum ini membawa Madrid menjuarai Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu, dengan pemain Brazil seperti Vinicius Junior dan Rodrygo Goes memainkan peranan penting.
Beliau dianggap antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah kelab, termasuk kejayaan La Decima — kejuaraan Liga Juara-Juara ke-10 Real Madrid — dalam penggal pertamanya.
Selain Madrid, Ancelotti juga pernah melatih AC Milan, Chelsea, dan Paris Saint-Germain.- AFP
