Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angin kencang dan panik punca feri terbalik, 26 lemas

    MANILA, 28 JULAI – Sebuah feri kecil terbalik di Filipina apabila penumpang tiba-tiba berkerumun ke satu sisi dalam keadaan panik ketika angin kencang melanda kapal kayu itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 40 yang lain diselamatkan, kata pegawai pada hari ini.

    Pengawal pantai dan polis berkata usaha mencari dan menyelamat telah disambung semula selepas jeda semalam. Pegawai berkata masih tidak jelas berapa ramai orang yang menaiki M/B Princess Aya, yang terbalik semalam di Laguna de Bay di wilayah Rizal di timur Manila.

    Apabila orang ramai bergegas ke satu sisi kapal dalam keadaan angin kencang, bot itu senget dan cadiknya patah, kemudian bot itu terbalik sejurus selepas meninggalkan dermaga di bandar Binangonan ke pulau Talim berhampiran, polis dan pengawal pantai berkata.

    Kemalangan berlaku hanya kira-kira 46 meter (150 kaki) dari pantai, kata pegawai pada sidang akhbar.

    Polis wilayah Rizal berkata bahawa mereka segera melancarkan operasi menyelamat dengan bantuan pengawal pantai dan pihak berkuasa tempatan lain, tetapi sekurang-kurangnya 26 orang lemas. Empat puluh yang lain telah diselamatkan.

    “Ini benar-benar peristiwa tragik yang perlu disiasat,” kata pengawal pantai Laksamana Muda Hostillo Arturo Cornelio kepada pemberita.

    Feri itu sepatutnya membawa maksimum 42 penumpang dan anak kapal tetapi lebih muatan, kata Cornelio. Beliau berkata penyiasat juga akan meneliti laporan bahawa penumpang tidak memakai jaket keselamatan seperti yang dikehendaki oleh peraturan keselamatan.

    Ditanya berapa ramai orang yang berada di dalam bot itu, Cornelio berkata tidak jelas sama ada terdapat lebih daripada 66 orang yang maut atau diselamatkan. “Kami menganggap mungkin ada lebih banyak lagi,” katanya. – AP

    Pasukan penyelamat mencari mangsa bot penumpang yang terbalik di Rizal, Filipina, hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda