Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angin kencang halang kerja pembongkaran tangki air loji nuklear

    JEPUN, 13 FEB – Angin kencang menghalang pengendali loji nuklear Fukushima Jepun daripada mula membongkar tangki air terawat hari ini, satu langkah penting ke arah menyahaktifkan keseluruhan kemudahan itu.

    “Proses membongkar tangki air telah ditangguhkan kerana angin kencang,” kata jurucakap Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Tatsuya Matoba, kepada AFP.

    “Proses itu boleh bermula esok bergantung kepada keadaan cuaca,” tambahnya.

    Langkah itu dilihat sebagai satu kejayaan dalam projek TEPCO selama beberapa puluh tahun untuk menyahaktifkan loji yang terjejas di utara Jepun, yang mengalami kemusnahan selepas dilanda tsunami dahsyat pada 2011.

    Pegawai sepatutnya memulakan proses untuk membongkar beberapa buah tangki tersebut hari ini untuk membersihkan ruang yang diperlukan bagi menyimpan serpihan nuklear untuk dikeluarkan daripada reaktor loji itu.

    TEPCO telah menyimpan kira-kira 1.3 juta tan air – gabungan air bawah tanah, air laut dan air hujan – di tapak, bersama-sama dengan air yang digunakan untuk menyejukkan reaktor, sejak kemalangan 2011.

    Air ditapis untuk mengeluarkan pelbagai bahan radioaktif tetapi kekal di dalam lebih daripada 1,000 tangki yang menduduki sebahagian besar loji itu. Pembongkaran tangki air menjadi mungkin selepas TEPCO mula melepaskan air yang disimpan dari loji ke Lautan Pasifik pada Ogos 2023.

    Selepas mengeluarkan tangki, syarikat itu merancang untuk membina kemudahan bagi menyimpan serpihan bahan api cair yang sangat berbahaya untuk dikeluarkan dari dalam reaktor. – AFP

    Gambar bertarikh 14 Februari 2021 menunjukkan Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi TEPCO. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda