MOSCOW/SAMOA, 4 DIS – Angka korban akibat penularan campak di Samoa telah mencecah 60 orang manakala lebih 4,000 kes jangkitan dicatat, agensi berita Rusia, Sputnik memetik kenyataan kerajaan Samoa.
“Kemas kini terkini: sejumlah 4,052 kes campak telah dilaporkan sejak penularannya dengan 171 dicatat dalam tempoh 24 jam lepas. Setakat ini, sejumlah 60 kematian berkaitan campak telah dicatat,” kata kerajaan menerusi Twitter.
Pada masa ini, demografi paling terjejas ialah kanak-kanak di bawah umur 4 tahun.
Campak ialah sejenis penyakit berjangkit yang biasanya merebak melalui cecair dalam sistem pernafasan.
Ia bermula dengan gejala seram sejuk seperti demam dengan suhu yang tinggi dan hidung berair yang akhirnya menyaksikan kewujudan seperti ruam di seluruh badan dan pada peringkat ini, sistem imunisasi sudah menjadi terlalu lemah untuk melawan jangkitan.
Campak boleh dicegah dengan berkesan melalui imunisasi. Vaksin campak telah dibangunkan pada 1960an dan didatangkan sama ada secara bersendirian atau dalam bentuk kombinasi dengan vaksin bagi beguk, rubela, dan varisela atau cacar air.
Samoa telah melancarkan satu kempen besar-besaran pada 18 Nov dan lebih 58,000 orang menerima vaksin setakat ini. – Bernama