BEIJING, 4 JULAI – Angkasawan China buat julung kalinya berjalan di angkasa di stesen angkasa baharu, menurut media kerajaan negara itu.
Ini adalah kali kedua angkasawan negara itu keluar dari kapal angkasa mereka ketika berada di angkasa.
Tiga angkasawan China berlepas ke stesen angkasa baharu, Tiangong, bulan lalu, di mana mereka akan tinggal selama tiga bulan dalam misi paling lama oleh angkasawan China setakat ini.
Stesen penyiaran CCTV berkata dua daripada mereka keluar daripada kabin utama stesen angkasa itu untuk berjalan di angkasa pagi tadi.
Angkasawan pertama, Liu Boming, dipindahkan menerusi tangan mekanikal ke stesen kerja manakala rakannya, Tang Hongbo, bergerak dengan mendaki ke bahagian luar kabin stesen berkenaan.
Misi mereka adalah mengangkat kamera panorama di luar kabin utama, Tianhe dan memastikan keupayaan pergerakan tangan mekanikal robotik.
Rakaman televisyen menunjukkan angkasawan bersiap untuk berjalan di angkasa dengan memakai peralatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan ketika bersenam di kabin.
Mereka kemudian dilihat membuka pintu dan keluar daripada kabin memakai sut baharu seberat 130 kilogram dengan aktiviti angkasa pertama itu dirancang dijangka berlangsung selam enam atau tujuh jam. – AFP
