Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkasawan China pecah rekod jalan 9 jam di angkasa

    BEIJING, 22 DIS – Dua angkasawan China yang berada di Stesen Angkasa Tiangong telah memecahkan rekod dunia untuk aktiviti luar angkasa (EVA) tunggal paling lama, yang telah bertahan lebih dua dekad sejak ditetapkan oleh program angkasa lepas Amerika Syarikat (AS).

    Pada Selasa kira-kira pukul 9:57, anggota kru Shenzhou-19, Cai Xuzhe dan Song Lingdong, berjaya menyelesaikan EVA selama sembilan jam, menurut Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA).

    Rekod terdahulu dicatatkan pada 11 Mac 2001, apabila angkasawan AS, James Voss dan Susan Helms menghabiskan masa selama lapan jam 56 minit di luar pesawat angkasa Discovery semasa misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), menurut Nasa.

    EVA sembilan jam itu juga menjadi pencapaian penting dalam sejarah ruang angkasa China. Sebelum ini, angkasawan Shenzhou-18, Ye Guangfu dan Li Guangsu, berjaya melaksanakan misi serupa, menghabiskan lapan jam 23 minit di luar Tiangong.

    Syarikat penyiaran CCTV melaporkan bahawa sut angkasa ‘Feitian’ generasi kedua yang dipakai oleh astronaut pada EVA Mei lalu mampu menyokong kerja luar angkasa sehingga lapan jam iaitu dua kali ganda daripada kemampuan sut generasi pertama.

    Angkasawan Cai Xuzhe (kanan), Song Lingdong (tengah) dan Wang Haoze semasa upacara berlepas menjelang pelancaran misi angkasa Shenzhou-19 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, barat laut China pada 30 Oktober lalu. – AFP

    Semasa EVA pertama China pada September 2008, Zhai Zhigang menghabiskan masa kurang 20 minit di luar pesawat Shenzhou-7 menggunakan sut Feitian generasi pertama.

    Rakaman dari Tiangong yang ditayangkan di Pusat Kawalan Angkasa Beijing pada Selasa menunjukkan Cai dan Song meninggalkan modul makmal Wentian, diikat dengan kabel keselamatan sepanjang dua meter ke stesen angkasa.

    Kerja mereka disokong oleh rakan kru, Wang Haozhe, yang kekal berada di dalam stesen, serta lengan robot Tiangong dan pasukan kawalan di darat. CMSA mengisytiharkan EVA tersebut sebagai ‘kejayaan penuh’.

    Misi tersebut amat penting untuk Song, seorang bekas juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara PLA, menjadi angkasawan China pertama yang dilahirkan pada tahun 1990an untuk melakukan EVA.

    Bagi Cai, komander misi EVA yang memecah rekod ini menandakan misi EVA keduanya di Tiangong. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda