Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Sebagai salah satu untuk usaha mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, Kumpulan Ikhwanul Mahabbah (KIM) telah menganjurkan Bazar Lakas Tah ke Mengkubau, baru-baru ini.
Bazar yang diadakan di Bukit Riadah Jalan Tanjung Selasih RPN Kampung Panchor Mengkubau itu diserikan dengan Malam Keagamaan Ikhwan Al Mahabbah, Pertandingan Hafazan Ayat-ayat Lazim, Pertandingan Melaungkan Azan dan Peraduan Mewarna Tulisan Jawi.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri yang juga Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung RPN Panchor Mengkubau Kawasan 3, 4, dan 5 dan Ketua Kumpulan KIM, ahli-ahli KIM dan penduduk kampung itu.
Dengan adanya pertandingan seumpamanya, ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memberanikan diri tampil di atas pentas.
Ia dibahagikan kepada tiga kategori dan disertai oleh 30 orang kanak-kanak yang berumur lapan hingga 15 tahun yang menetap di kampung berkenaan.
Pertandingan hafazan dibukakan kepada kanak-kanak yang berumur lapan hingga 12 tahun, Pertandingan Melaungkan Azan untuk kanak-kanak berumur 10 hingga 15 tahun dan pertandingan mewarna tulisan Jawi bagi kanak-kanak yang berumur enam hingga12 tahun.
KIM akan terus merancang dan melaksanakan aktiviti keagamaan selain aktiviti riadah, perekonomian, kebajikan dan kemasyarakatan pada masa akan datang.


