Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Anugerah bukti dedikasi, ketabahan pelajar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 48 orang dari Politeknik Brunei (PB) telah diraikan atas pencapaian cemerlang mereka dalam Majlis Anugerah Pelajar 2023 yang berlangsung di Hotel Mulia, Berakas, hari ini.

    Anugerah yang diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen PB ke-9 itu meraikan penerima yang dicalonkan terdiri daripada graduan dan pelajar daripada pelbagai program di bawah lima buah sekolah PB iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan serta Sekolah Petrokimia.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima ialah Timbalan Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola PB, jemputan khas, penaja serta penerima anugerah dan ibu bapa mereka.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon berkata, sepanjang tempoh pengajian mereka di PB, para graduan telah dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang akan membentuk masa hadapan mereka.

    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyampaikan anugerah kepada salah seorang graduan cemerlang. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa menghadiri Majlis Anugerah Pelajar 2023 yang berlangsung di Hotel Mulia, Berakas,
    kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Di samping itu, mereka juga ditanamkan rasa tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada pembangunan masyarakat dan negara.

    Oleh itu, jelas Lim Kian Boon, anugerah yang disampaikan bukan sahaja menandakan kecemerlangan para penerima tetapi ia juga merupakan bukti dedikasi, ketabahan, kecekapan dan kepimpinan yang telah ditonjolkan oleh mereka.

    Bagi para graduan, anugerah itu merupakan sumber motivasi dan kebanggaan yang akan memacu ke tahap peringkat kejayaan yang lebih tinggi.

    Penghormatan itu, tambah beliau, juga memberikan gambaran yang positif kepada institusi berkenaan dengan mengembangkan lagi reputasinya bagi memupuk budaya kecemerlangan selaras dengan nilai PB, Taffawuq.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada 26 orang graduan terpilih yang disampaikan oleh Dato Seri Paduka Haji Matsatejo di mana beliau menyampaikan anugerah di bawah beberapa kategori iaitu Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Akademik Cemerlang, Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan dan Anugerah Inovasi.

    Anugerah Pelajar Terbaik telah diberikan kepada Awang Nur Daniel bin Abdullah Masri, graduan yang baru saja menerima kelayakan Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia), Sekolah Perniagaan.

    Awang Nur Daniel juga merupakan salah seorang penerima anugerah di bawah kategori Anugerah Akademik Cemerlang.

    Sementara itu, Anugerah Duta Republik Rakyat China yang ditaja oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam telah disampaikan kepada 22 orang pelajar dari 22 buah program di bawah PB yang disempurnakan oleh TYT Xiao Jianguo.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...