Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    BFS khusus untuk pancingan ultralight

    Oleh Raz AS – 

    Bait Finesse System atau lebih dikenali sebagai BFS merupakan antara trend terhangat dalam dunia pancing pada masa ini.

    Mungkin ramai yang masih tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan BFS ini.

    Secara ringkasnya BFS merupakan sistem yang mulanya diciptakan di negara matahari terbit, Jepun, di mana si pemancing akan menggunakan set joran ultralight, tali pancing halus bersama lure kecil.

    Jika semuanya adalah menggunakan set ultralight bukankah itu yang selama ini dikenali sebagai pancingan ultralight? Jawapannya adalah ‘Ya!’.

    Jadi apakah perbezaannya? Sebenarnya tiada perbezaan kerana BFS itu sendiri adalah sistem yang digunakan untuk kaedah pancingan ultralight, ia bukanlah satu kaedah mahupun teknik.

    BFS membolehkan pemancing menikmati kelebihan menggunakan baitcaster ketika melakukan pancingan ultralight. – Gambar oleh Fishing Discoveries
    Antara ciri tipikal yang ada pada reel BFS adalah gelendung talinya yang cetek dan ringan berbanding baitcaster biasa. – Gambar oleh Todber Manor Fisheries

    Beberapa tahun yang lalu sahaja, pancingan ultralight sangat sinonim dengan penggunaan spinning reel di mana reel ini membolehkah pemancing melontar lure kecil yang sangat ringan disebabkan kurangnya rintangan yang terhasil pada bahagian gelendung tali ketika lontaran dilakukan.

    Berbanding penggunaan baitcaster, yang lebih sinonim dengan kaedah pancingan berat, seperti tali berkekuatan tinggi, lure berat dan bersaiz besar.

    Ini adalah disebabkan posisi kedudukan gelendung tali dan cara tali keluar yang berbeza antara kedua-dua reel tersebut, di mana bagi spinning reel gelendungnya terletak di hadapan dan tali dapat menghembur keluar tanpa halangan manakala baitcaster pula gelendungnya terletak di bahagian dalam dan perlu berputar untuk mengeluarkan tali.

    Namun kini, baitcaster yang didatangkan dengan BFS mampu melontarkan lure ringan menjadikannya reel khusus untuk pancingan ultralight, sepertimana yang sebelum ini dilakukan hanya menggunakan spinning reel bersaiz kecil, membolehkan pemancing menikmati kelebihan menggunakan baitcaster yang tiada pada spinning reel seperti kawalan dan ketepatan lontaran.

    Sebenarnya BFS bukanlah sistem yang baharu, walau bagaimanapun disebabkan trend memancing ikan trout semakin meningkat popular di Jepun, syarikat-syarikat penghasil peralatan memancing ikan bass utama di sana tidak melepaskan peluang keemasan tersebut untuk menyebarluaskan pengaruh mereka ke dunia pancingan trout.

    Syarikat-syarikat tersebut berlumba-lumba untuk menghasilkan BFS baitcaster dengan teknologi masing-masing sehingga ia membanjiri pasaran dan kini boleh didapatkan hampir di setiap kedai-kedai pancing di seluruh dunia.

    Secara amnya, reel BFS mempunyai bentuk badan yang sama seperti baitcaster biasa, sama ada dalam bentuk low profile mahupun jenis bulat atau konvensional.

    Ciri-ciri tipikal yang ada pada reel ini adalah ia mempunyai sistem drag ringan namun berkualiti tinggi dengan kekuatan maksimum tidak melebihi 8lb atau bersamaan dengan kira-kira 3.5kg, nisbah gear tinggi dan gelendung tali yang cetek dan ringan serta galas bebola (ball bearing) berprestasi tinggi untuk mengurangkan rintangan pusingan gelendung ketika lontaran dibuat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...