Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah terindah menjadi tetamu Allah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Berpeluang menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah pastinya menjadi impian terindah setiap umat Islam di dunia ini.

    Bumi yang penuh berkat dan memiliki sejarah teristimewa dalam lembaran Islam itu pastinya sentiasa diziarahi dengan himpunan terbesar umat Islam dari seluruh pelosok dunia untuk sama-sama memperoleh rahmat dari Yang Maha Maha Esa.

    Bagi insan-insan yang terpilih menjadi tetamu Allah semestinya merasai ia suatu perjalanan suci yang tiada tolok bandingnya demi menyempurnakan tuntutan terakhir daripada Rukun Islam ke-5 iaitu menunaikan ibadah haji. Pengalaman kembara agung ke kota suci itu pastinya sentiasa terpahat indah dalam sanubari seseorang insan yang telah bergelar ‘Haji’ dan ‘Hajah’ mahupun bagi mereka yang menunaikan ibadah umrah.

    Keagungan Kaabah menyentuh hati

    Dijemput menjadi tetamu Allah melaksanakan ibadah haji merupakan satu anugerah terindah yang tiada ternilai bagi sesiapa yang benar-benar menjiwai dan menghayati erti ibadah ke tanah suci itu. Perasaan inilah yang turut diungkapkan oleh Haji Khalid bin Haji Bujang selaku salah seorang jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang menunaikan fardu haji bagi musim haji 1440 Hijrah / 2019 Masihi semasa ditemui wartawan Media Permata setibanya pulang ke tanah air, baru-baru ini.

    “Maha Suci Allah! Pastinya perasaan bercampur-baur untuk kembali ke tanah air, setelah mengerjakan ibadah haji dan merasai ketenangan dan keseronokan beribadah. Hati ini sememangnya sedih meninggalkan bumi kota suci Mekah dan Madinah, namun pada masa yang sama kegembiraan turut dirasai setelah bertemu semula bersama ahli keluarga tersayang yang tidak pernah putus berdoa dan menanti kepulangan diri ini,” ujarnya dengan nada penuh kesyukuran.

    Haji Khalid (tiga dari kanan) merakamkan detik kenangan manis bergambar ramai bersama sebahagian jemaah haji tanah air semasa berada di perkhemahan Mina.
    Haji Khalid yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci itu turut berkongsi detik-detik yang begitu menyentuh hati beliau kerana dapat melihat keagungan Kaabah di hadapan mata.
    Pengalaman kembara agung ke kota suci itu pastinya sentiasa terpahat indah dalam sanubari Hajah Amal (kanan) bersama kedua ibu bapa beliau menjadi tetamu Allah bagi menyahut seruan rukun Islam yang ke-5 baru-baru ini.

    Haji Khalid yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci itu turut berkongsi detik-detik yang begitu menyentuh hati beliau kerana dapat melihat keagungan Kaabah di hadapan mata.

    “Jiwa ini terpegun. Meskipun dibanjiri lautan manusia dari seluruh dunia, ketenangan tetap dirasai. Jika setiap kali dalam menunaikan solat selama ini, kita akan mencari arah kiblat, tapi kali ini ia berada tersergam di hadapan mata!,” jelasnya lagi dengan ketulusan.

    Beliau yang kini berusia 52 tahun ini juga mengungkapkan bahawa setiap detik perjalanan melaksanakan ibadah haji ini pastinya membawa jutaan rasa kemanisan dalam hidupnya namun ia juga mampu mendidik diri untuk lebih menuntut dan menyemai kesabaran yang tinggi dalam meniti kehidupan yang tidak terlepas dari sebarang ujian yang mendatang yang semestinya memiliki hikmah yang tersembunyi.

    Sentiasa segar dalam ingatan

    Sementara itu, kesyukuran yang tiada terhingga kepada Allah SWT setelah terlaksananya ibadah haji bersama ibu bapa tercinta turut diluahkan oleh salah seorang jemaah haji negara yang berasal dari Kampong Rimba, Gadong, Hajah Amal Nabilah binti Haji Abd Ghani.

    Menunaikan ibadah haji pada usia 23 tahun ini sememangnya sesuatu yang kenangan yang begitu manis yang sentiasa segar dalam ingatannya. Setibanya di kota suci Madinah, perasaan teruja terus mewarnai hari-hari beliau bersama kedua orang tuanya kerana dengan izin Allah SWT jua dapat menyaksikan sendiri keagungan Masjid Nabawi. Kecintaan dan kerinduan yang membara terus membuatkan mereka melangkah ke Masjid suci itu walaupun kepenatan jelas terasa.

    “Tanpa disedari, air mata ini menitis. Perasaan indah bertemu Rasulullah SAW tidak dapat digambar dengan kata-kata. Walaupun bukan bertemu muka, namun perasaan rindu itu jelas terubat dengan hanya melihat Masjid Nabi, menempatkan makam Baginda Rasulullah serta dua sahabat dan khalifah agung, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.”

    “Sungguh menakjubkan keindahan masjid suci ini dan hati merasa sayu kerana diberikan kesempatan untuk menjejakkan kaki dan beribadah di dalam masjid dan menziarahi kota suci ini. Di kota inilah terletaknya dua buah lagi masjid yang penting dan bersejarah di dalam Islam iaitu Masjid Quba, yang merupakan masjid pertama dalam Islam dan Masjid Al-Qiblatain, di mana turunnya wahyu bagi peralihan kiblat bagi umat Islam dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram di Mekah,” ujarnya dengan nada terharu yang merupakan kali pertama menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

    Hajah Amal turut menyatakan bahawa sudah setentunya hati dan jiwanya sentiasa ‘terjatuh cinta’ dengan setiap detik perjalanan menyahut seruan Ilahi di kedua-dua tanah suci itu yang pastinya sangat memberi kesan pada diri dan para tetamu Allah yang lain tentang erti kehambaan dengan hanya bergantung sepenuhnya kepada Yang Maha Esa demi menggapai keredaannya di dunia dan akhirat.

    “Semoga Allah SWT akan melimpahkan rezeki, umur dan kesihatan serta diberikan peluang lagi untuk menjadi tetamuNya suatu hari nanti bersama insan-insan tersayang. Apa yang pasti inilah satu kenangan yang akan diabadikan untuk selamanya selagi hayat dikandung badan,” ucapnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    Oleh yang demikian, tahniah dan selamat kembali ke tanah air yang tercinta kepada para jemaah haji Negara Brunei Darussalam. Dengan iringan doa, semoga ibadah haji yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT dengan dianugerahkan haji yang ‘mabrur’ serta sentiasa istiqamah dalam meningkatkan keimanan dan mengerjakan amal kebajikan. Justeru, marilah kita sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar memperoleh rezeki teristimewa untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah sebelum kita kembali menemuiNya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda