Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah tidak ternilai

    Oleh Sim Y.H

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Pada 23 Februari 2020, Negara Brunei Darussalam sekali lagi akan meraikan anugerah tidak ternilai iaitu 36 tahun telah menikmati kemakmuran dan kesejahteraan berbangsa serta bernegara.

    “Setentunya, nikmat ini merupakan satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT, khususnya dalam mencapai usia 36 tahun yang mematangkan dan mendewasakan kita untuk terus berusaha menjayakan wawasan negara dalam keadaan aman makmur di bawah pemerintahan raja yang adil lagi bijaksana.

    Harapan itu disuarakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

    “Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam merupakan manifestasi rasa kebanggaan dan patriotisme setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada raja kita yang berdaulat dan negara kita yang merdeka.

    “Oleh itu, kita, sebagai satu pasukan, hendaklah mengungkayahkan amanah ini dengan memberikan yang terbaik demi menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan kerana ia milik bersama sekalian rakyat dan penduduk negara ini.”

    Hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar; Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid; setiausaha tetap-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli dan wakil ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.

    Pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan memaklumkan bahawa tema sambutan, ‘Menjayakan Wawasan Negara’ akan terus digunakan memandangkan jangka masa dari 2020 dan 2035 genap 15 tahun.

    Mengulas mengenai logo sambutan, beliau menyatakan bahawa pertandingan mencipta logo akan dibukakan kepada orang ramai untuk memberikan platform kepada setiap lapisan masyarakat bagi sama-sama menyumbang dan menzahirkan rasa kebanggaan terhadap negara yang amat dicintai ini.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan kata alu-aluannya pada mesyuarat tersebut kelmarin. Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda