Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    APRM bincang peranan ILO sokong pekerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif untuk mengatasi kesan daripada pandemik COVID.

    Langkah dan inisiatif itu menumpukan kepada menjaga kesejahteraan rakyat, ke arah kestabilan ekonomi bagi perusahaan, peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mereka yang bekerja sendiri dan memupuk dan mengekalkan perniagaan serta inovasi dalam bidang pembelajaran dan kemahiran sepanjang hayat untuk semua.

    Langkah dan inisiatif berkenaan telah dikongsi oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa sesi plenari rasmi Mesyuarat Rantau Asia dan Pasifik ke-17 (APRM ke-17) bagi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berlangsung di Raffles City Convention Centre, Singapura pada 6 Disember hingga hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perundangan, Antarabangsa dan Penyelidikan), KHEDN, Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail, Ketua Sekretariat Manpower Planning dan Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Buruh, Awang Mohd Saufi bin Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan KHEDN; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negara Brunei Darussalam, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad selaku wakil Majikan serta Strategic HR Business Partner, Bank Islam Brunei Darussalam, Lim Chui Hian sebagai wakil Pekerja.

    Mesyuarat dirasmikan dengan ucapan pembukaan khas oleh Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob, diikuti dengan ucapan daripada Menteri Tenaga Manusia, Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Tan See Leng selaku Pengerusi APRM ke-17, Ketua Pengarah ILO, Tuan Yang Terutama Gilbert F Houngbo, wakil Majikan, Hiroyuki Matsui dan wakil Pekerja, Felix Anthony.

    APRM mengumpulkan tiga pihak konstituen ILO di seluruh Asia, Pasifik dan negara-negara Arab setiap empat tahun sekali untuk membincangkan program dan pelaksanaan aktiviti ILO di rantau itu melalui perkongsian pengetahuan dan pertukaran amalan terbaik.

    Mesyuarat membincangkan peranan ILO dalam menyokong pekerja, perusahaan dan isi rumah di rantau ini untuk menyesuaikan diri dengan cabaran dan peluang baru dalam dunia pekerjaan, mengukuhkan daya tahan pasaran buruh, menggalakkan kerja yang baik di rantau ini serta membawa kesan alam sekitar, ekonomi dan sosial yang positif.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. – Gambar serahan KHEDN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...