KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kekukuhan hubungan dagangan dua hala Arab Saudi dan Malaysia boleh dijadikan peluang bagi negara itu untuk mempertingkatkan kehadirannya di rantau ASEAN.
Malah, Malaysia boleh dijadikan hab strategik serantau bagi perniagaan Arab Saudi berikutan kelebihan lokasi strategik negara ini di tengah-tengah ASEAN – rantau dengan gabungan penduduknya seramai 625 juta orang serta Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah AS$2.43 trilion setakat 2015.
Berikutan itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang berperanan sebagai agensi penggalakkan pelaburan nasional, telah menggalakkan negara-negara termasuk Arab Saudi untuk memanfaatkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang luas serta ke kawasan lain.
Menerusi langkah bertapak di Malaysia, MIDA berkata syarikat-syarikat Arab Saudi juga dapat memanfaatkan kelebihan logistik negara ini bagi tujuan penubuhan kepentingannya di peringkat serantau.
Ini termasuk kemudahan gudang simpanan perusahaan berlesen, prosedur kendalian kastam serba cekap, kemudahan mendapatkan bekalan sistem elektromekanikal yang berkualiti, infrastruktur serba lengkap, kos yang kompetitif, rantaian bekalan, modal insan dan bakat yang berkelayakan.
“Kami sememangnya teruja untuk melihat lebih banyak pelaburan berkualiti dari Arab Saudi yang akan menyumbang kepada matlamat pembangunan Malaysia,” kata MIDA kepada Bernama.
Bagi tempoh setakat September 2016, sejumlah 16 projek perusahaan yang melibatkan penyertaan Arab Saudi, diluluskan dengan nilai pelaburan US$1.61 bilion (RM4.98 bilion) selain menjana sejumlah 2,395 peluang pekerjaan.
Ini membabitkan projek yang menumpukan sektor bahan kimia dan produk berasaskannya, produk elektronik dan elektrikal, perusahaan makanan, tekstil dan produk berasaskannya, produk plastik, produk mineral bulan metalik, jentera dan peralatan serta industri peralatan pengukur dan saintifik.
Selain itu, Malaysia dan Arab Saudi turut menikmati hubungan dua hala yang kukuh termasuk aspek perdagangan dan ekonomi sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara dijalinkan pada awal 1960.
Pada 2016 misalnya, Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-19 terbesar Malaysia di peringkat global dengan jumlah dagangan sebanyak RM13.12 bilion meningkat 19.8 peratus berbanding RM10.95 bilion pada 2015.
Ini merangkumi eksport Malaysia berjumlah RM3.15 bilion dan import RM9.97 bilion berikutan peningkatan import produk petroleum dan petroleum mentah dari Arab Saudi.
Eksport terbesar Malaysia ke Arab Saudi adalah minyak sawit dan produk berasaskannya sebanyak 17.6 peratus diikuti jentera, peralatan dan komponen (11.3 peratus), makanan diproses (11.1 peratus), produk elektrikal dan elektronik (10.3 peratus) dan pengeluaran logam (9.0 peratus).
Import terbesar Malaysia dari Arab Saudi bagi 2016 pula meliputi bahan kimia dan produk berasaskannya sebanyak 40.6 peratus, petroleum mentah (30.8 peratus), produk petroleum (23.4 peratus), pengeluaran logam (4.3 peratus) dan pengeluaran plastik (0.2 peratus).
Sementara itu, bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Prof Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf berkata Arab Saudi adalah sebuah negara membangun dari segi infrastruktur, pengangkutan dan kediaman. – Bernama