Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Aris Ariwatan sokong Jamal Abdillah tarik diri AJL38

    Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3P) menyokong tindakan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah menarik diri menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung pada 3 Mac ini.

    Memetik laporan mStar, Presiden 3P, Aris Ariwatan berkata, pihak penganjur tidak sepatutnya mengambil kesempatan ke atas artis apatah lagi mereka mengaut keuntungan daripada acara tersebut.

    Kata Aris atau Harris Fadzillah Daud, 60, tindakan Jamal itu juga sebagai mewakili suara artis baharu yang mungkin takut untuk bersuara meluahkan perasaan sebenar mereka.

    “Saya bersetuju dengan kenyataan Jamal sebab bila ada penjualan tiket maka ada perniagaan berlaku di situ. Bukan sebelum ni tiada, tetapi sepatutnya ia perlu diambil kira sebab sekarang dah 2024, jangan ambil kesempatan.

    “Artis ada dua saja sumber pendapatan, sewaktu persembahan dan harta intelek lagu. Saya sebagai presiden 3P, saya menyokong tindakan Jamal dan jangan ketepikan dia sebab itu pendapat seorang yang sudah lama dalam industri.

    “Saya juga tak yakin artis baharu berani keluarkan kenyataan macam itu, jadi saya sokong tindakan dia,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Jamal sepatutnya bergandingan dengan penyanyi Wany Hasrita menyampaikan lagu Kucuma namun mengambil keputusan menarik diri pada Isnin lalu.

    Susulan itu, penyanyi Afieq Shazwan akan menggantikan tempat Jamal bagi menyampaikan karya ciptaan A. Ramlee dan Ezra Kong itu.

    Dalam pada itu, Aris berkata, beliau sendiri sedih dengan perkara dibangkitkan kerana bukti industri muzik tempatan masih berada di tahap lama meskipun sudah memasuki tahun 2024.

    Malah, Aris berpendapat kerajaan perlu lihat bahawa industri muzik bukan sekadar hiburan tetapi mampu mempengaruhi generasi mengikut peredaran zaman.

    “Mesti kena ada situasi menang-menang di antara pihak produksi dan artis.

    “Satu kesedihan buat industri muzik Malaysia sebab kita masih lagi bercakap tentang survival, sepatutnya tahun 2024 ni kita sudah berada pada tahap tentukan nilai-nilai lebih baik dalam industri.

    “Pihak kerajaan juga perlu tahu bahawa muzik bukan sekadar hiburan tapi makanan jiwa rakyat Malaysia. Ini sebab lirik dan melodi sesebuah lagu mempengaruhi generasi mengikut zaman mereka,” ujarnya. – Agensi

    Aris Ariwatan sokong tindakan Jamal yang berani bersuara untuk artis muda lain. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...