Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Musim cuti persekolahan adalah masa yang sangat dinanti-nantikan oleh pelajar dan ibu bapa untuk melakukan aktiviti serta meluangkan masa bersama.
Taman-taman permainan dan arked adalah antara yang menjadi tumpuan kerana pada hari biasa, peluang untuk pergi ke tempat-tempat seumpamanya adalah sangat terhad dan boleh mengganggu jadual masa untuk belajar.
Wartawan Media Permata telah berpeluang membuat tinjauan ke taman-taman dalam bangunan untuk kanak-kanak, seperti KTM Kidzland Cafe di Tanjung Bunut, untuk meninjau peralatan dan permainan yang disediakan, di mana ia selamat untuk digunakan, namun memerlukan pemantauan oleh penjaga dewasa bagi anak-anak kecil yang ingin bermain bersama.
Pihak pengurusan KTM juga membuat pembersihan ke atas semua peralatan permainan pada waktu berkala, setiap hari, sebagai langkah untuk keselamatan bersama bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Di sana, kanak-kanak boleh dibiarkan bermain sendiri, sementara ibu bapa dan ahli keluarga memerhatikan dari luar kawasan permainan. Apa yang menarik dengan taman permainan berkenaan, beberapa permainan arked untuk kanak-kanak turut disediakan.
Walaupun sekarang beberapa negara sudah memasuki fasa endemik, namun keselamatan kesihatan daripada dijangkiti wabak COVID-19 perlu diambil perhatian.
Melancong keluar negara bukanlah seperti dulu, langkah-langkah keselamatan atau prosedur operasi standard (SOP) kini juga perlu ditekankan semasa melancong.
Dayang Aizen Syamsiah binti Puasa ketika ditemu bual berkata, kebiasaannya cuti sekolah diisikan dengan membuat perjalanan ke luar negara, namun dengan keadaan global sekarang yang masih tidak selamat untuk dikunjungi, beliau sekeluarga hanya bercuti di dalam negara.
“Terdapat banyak tempat tarikan yang menjadi pilihan untuk berhibur sambil berbelanja di negara kita sendiri,” ujarnya.



