STEPANAKERT, AZERBAIJAN, 1 OKT – Armenia dan Azerbaijan berikrar untuk meneruskan peperangan, sekali gus menolak seruan dunia semalam bagi melaksanakan rundingan damai.
Ketika ini, pertempuran di wilayah Nagorno Karabakh itu sudah memasuki hari keempat.
Di ibu negara wilayah Stenapakert, dua letupan kedengaran pada tengah malam tadi ketika siren dibunyikan.
Menurut penduduk, bandar itu telah diserang menggunakan dron. Moscow berkata Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatnya, Emmanuel Macron telah menggesa peperangan di Karabakh itu dihentikan dan bersedia mempergiatkan usaha diplomatik bagi mencari penyelesaian untuk menamatkan konflik di kedua-dua wilayah bergolak itu.
Dalam satu perbualan telefon, kedua-dua pemimpin itu menyuarakan kesediaan untuk melihat kenyataan dibuat pihak pengerusi bersama kumpulan Minsk iaitu Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) bagi menggesa langkah gencatan senjata dan rundingan damai diadakan. Semalam, lebih 100 individu disahkan terkorban akibat termasuk dalam kalangan orang awam.
Sejak awal 1990-an lagi, Armenia dan Azerbaijan yang juga wilayah bekas jajahan Soviet, terbabit dalam pertikaian wilayah dengan pertempuran terburuk berlaku pada 2016.
Perkara itu amat membimbangkan terutama sekiranya konflik ini terus memuncak dan menyebabkan perang lebih besar dengan campur tangan negara seperti Turki dan Rusia.
“Kami perlu bersedia untuk perang jangka panjang,” kata pemimpin pemisah Karabakh, Arayik Harutyunyan, semalam. – AFP
