LONDON, 21 APRIL – Arsenal memastikan Liverpool tidak dapat menjulang trofi Liga Perdana Inggeris kelmarin selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Ipswich yang beraksi dengan 10 orang.
Liverpool memerlukan kemenangan ke atas Leicester dan kekalahan Arsenal untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali ke-20, menyamai rekod terbanyak dalam sejarah bola sepak Inggeris.
Kekalahan tersebut hampir meleburkan harapan Ipswich untuk kekal di Liga Perdana Inggeris apabila mereka kini ketinggalan 15 mata daripada zon selamat dengan baki lima perlawanan dan perbezaan jaringan yang jauh lebih teruk berbanding West Ham.
Selepas melakar kejayaan bersejarah menewaskan Real Madrid di Santiago Bernabeu untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-juara buat kali pertama sejak 2009, Arsenal meneruskan momentum mereka dengan meraih satu slot dalam kejohanan elit bola sepak Eropah musim depan.
Mikel Arteta hanya membuat tiga pertukaran daripada skuad yang menewaskan Real Madrid 2-1 pada Rabu lalu dan dibalas dengan aksi dominan yang menyaksikan mereka menamatkan saingan seawal setengah jam pertama.

“35 minit pertama kami sangat luar biasa, kami menjaringkan dua gol dan sepatutnya boleh tambah lagi,” kata Arteta.
“Apa yang kami boleh lakukan hanyalah menangguhkan detik itu (kemenangan gelaran Liverpool) dan berusaha menamatkan musim setinggi mungkin.”
Arsenal kini merapatkan jurang kepada 10 mata di belakang pendahulu dan membuka kelebihan sembilan mata dalam perebutan tempat ke Liga Juara-juara.
Leandro Trossard, salah seorang pemain yang kembali ke kesebelasan utama, menjaringkan gol pembukaan – yang kelapan musim ini – hasil sentuhan penyudah kemas.
Satu gerakan menarik menyaksikan hantaran silang Bukayo Saka dikibas oleh Mikel Merino ke arah Gabriel Martinelli yang mudah menyudahkan jaringan gol kedua Arsenal.
Trossard menyempurnakan gol keduanya selepas satu sepakan sudut yang dirancang rapi, sebelum percubaan Ethan Nwaneri yang melencong selepas terkena pemain pertahanan melengkapkan kemenangan bergaya The Gunners. – AFP