Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Artifak manik bukti hubungan perdagangan Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sejak zaman prasejarah lagi, manik telah menjadi barang yang terkenal dalam perdagangan serantau dan antarabangsa.

    Manik adalah objek universal yang boleh ditemui di kebanyakan negara di dunia. Ia merupakan artifak prasejarah yang diedarkan secara meluas kerana banyak manik yang dijumpai dihasilkan beribu-ribu batu dari tempat penemuannya.

    Ia juga merupakan salah satu kraf buatan manusia yang tertua di dunia. Manik pertama dibuat daripada biji, cangkerang, gigi haiwan, kuku dan tulang. Kemudian manik mula dibuat daripada tanah liat, batu, lilin, damar, kaca dan logam. Batu permata yang digunakan untuk membuat manik termasuk akik, kalsedon, beril, jasper, kuarza, karnelian, ametis, kristal, jed dan granit.

    Sehubungan itu, dalam usaha untuk mendedahkan mengenai bidang arkeologi terutamanya penemuan bahan artifak berbentuk manik, Jabatan Muzium-muzium melalui Bahagian Arkeologi dan Monumen kini mengadakan Pameran Manik: 1,000 Tahun bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2024.

    Pameran yang bertempat di Ruang Legar, Muzium Maritim Brunei Darussalam itu dijangka akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 18 Ogos nanti.

    Jabatan Muzium-muzium melalui Bahagian Arkeologi dan Monumen kini mengadakan Pameran Manik: 1,000 Tahun bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2024 sehingga 18 Ogos nanti. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara artifak manik yang berusia lebih dari 1,000 tahun yang ditemui di Tapak Kota Batu menjadi salah satu tarikan bagi para pengunjung pameran tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Tapak Sungai Lumut juga memiliki penemuan artifak manik membuktikan kewujudan Brunei awal dalam menjalin hubungan negara serantau dan antarabangsa melalui hubungan perdagangan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Koleksi artifak manik yang dijumpai di Kapal Karam Brunei yang bertarikh antara abad ke-10 hingga abad ke-17 Masihi. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Berkesempatan ditemui Media Permata, Timbalan Pengarah Muzium, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad berkata pameran ini akan mengetengahkan bahan artifak berbentuk manik yang ditemui di empat tapak arkeologi utama di Negara Brunei Darussalam iaitu dari Tapak Kota Batu, Tapak Sungai Limau Manis, Tapak Sungai Lumut dan Kapal Karam Brunei yang bertarikh antara abad ke-10 hingga abad ke-17 Masihi.

    BUKAN HANYA RISTAAN BUALAN SEMATA

    Penemuan-penemuan berkenaan sememangnya mencerminkan simbol peninggalan manusia purba oleh penduduk Brunei lebih kurang 1,000 tahun dahulu. Manik dinilai sebagai bukti arkeologi yang memainkan peranan penting dalam sejarah, perdagangan dan evolusi budaya tamadun manusia.

    Pengiran Hajah Mahani turut mengongsikan lebih 100 biji manik penuh keunikan telah diketengahkan pada pameran berkenaan. Ini membuktikan 1,000 tahun bukanlah jangka yang pendek bagi kita. Di sinilah kita dapat menilai bagaimana keutuhan dan keunggulan
    Brunei pada zaman dahulu.

    Ini bukanlah hanya ristaan bualan atau catatan-catatan kosong tetapi ini telah dapat dibuktikan menerusi adanya penemuan artifak manik tersebut.

    “Dengan adanya penemuan artifak manik ini, jelas membuktikan kewujudan awal Brunei dalam menjalin hubungan negara serantau dan antarabangsa melalui aktiviti perdagangan.

    “Selain itu, hubungan perdagangan ini juga turut membuktikan Brunei telah mencapai era kegemilangannya pada abad ke-15 dengan kehadiran para pedagang Arab, China dan India ke Brunei dan seterusnya menjalin ikatan politik, perkahwinan dan penyebaran agama Islam sepertimana yang tercatat dalam beberapa sumber China, Jawa, batu tarsilah dan lain-lain lagi,” jelasnya.

    PUPUK GENERASI HARGAI WARISAN NEGARA

    Sehubungan itu, Hari Muzium Antarabangsa yang disambut setiap 18 Mei di seluruh dunia adalah sebagai salah satu platform untuk mempromosikan peranan muzium dalam pertukaran budaya dan pembangunan.

    Selaras dengan tema Hari Muzium Antarabangsa pada tahun ini iaitu Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan, Jabatan Muzium-muzium melalui Bahagian Arkeologi dan Monumen telah mengangkat Pameran Manik: 1,000 Tahun pada tahun ini.

    Pameran berkenaan merupakan kesinambungan daripada Seminar Temuan Arkeologi, Linguistik, Sejarah dan Budaya Se-Borneo yang telah diadakan pada 26 hingga 27 November 2013 sempena Pameran Manik Se-Borneo yang melibatkan penyertaan muzium-muzium di Kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

    Dalam pada itu, Pengiran Hajah Mahani turut menyatakan bahawa pelaksanaan pameran berkenaan bertujuan untuk merangsang minat serta cinta dan menghargai warisan negara terutama dari segi penyelidikan, pengumpulan, pemeliharaan dan penyebaran ilmu.

    “Antara objektif pameran ini juga adalah untuk memberikan peluang kepada masyarakat bagi mengenali dengan lebih rapat tentang penemuan koleksi artifak terutama bahan manik dari tapak-tapak arkeologi di Negara Brunei Darussalam yang berusia lebih dari 1,000 tahun di samping mengimbas kembali peranan arkeologi dalam masyarakat Brunei melalui penemuan arkeologi khususnya bahan manik,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...