Saturday, October 26, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Artis guna biskut lukis potret wajah

    Gambar AP

    PITTSBURG – Artis Jasmine Cho membuat potret indah yang memperjuangkan orang Asia Amerika yang terkenal dan dilupakan. Kanvasnya?

    “Biskut, seperti yang selalu saya katakan, adalah platform yang sempurna untuk pendidikan, aktivisme dan penyembuhan kerana ia adalah salah satu medium paling menenangkan, menarik dan mengejutkan,” kata Cho, yang juga seorang pembuat roti.

    Dia percaya seninya datang sebahagian daripada rasa tidak diterima yang dialaminya semasa membesar. Mei ialah Bulan Warisan Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik (AAPI), tetapi biskut Cho menumpu perhatian kepada AAPI setiap bulan.

    Warga Korea Amerika yang menyifatkan dirinya sebagai ‘aktivis biskut’ telah menarik peminat sejak beberapa tahun lalu atas wajah biskutnya yang terperinci. Pelakon Awkwafina, Daniel Dae Kim dan Tamlyn Tomita adalah antara mereka yang teruja menerima biskutnya.

    Bandar Pittsburgh, tempat dia tinggal sejak 2009, malah mengeluarkan pengisytiharan ‘Hari Jasmine Cho’ pada 2020.

    Jasmine Cho memegang potret biskut pemenang pingat emas Olimpik AS, Sammy Lee.
    Jasmine Cho melukis potret biskut seorang artis tatu mambabatok Filipina, Apo Whang-Od di Pittsburg.
    Potret biskut mendiang Karen Fung Yee yang dilukis oleh Jasmine Cho.
    Potret biskut mendiang Republikan Hawaii, Patsy Takemoto Mink, wanita Asia-Amerika pertama yang berkhidmat dalam Kongres di Pittsburg.

    Pada tahun 2016, Cho berpuas hati membuat biskut dengan karakter comel untuk kedai roti dalam taliannya, Yummyholic, apabila dia menukar tepung, gula, mentega dan bahan-bahan lain menjadi biskut yang menyerupai rakannya untuk majlis hari jadi. Biskut itu segera menjadi tumpuan di media sosial. Orang lain juga mahu Cho membuat potret biskut untuk mereka.

    “Saya tiba-tiba mempunyai platform atau medium ini yang menarik perhatian semua orang,” kata Cho. “Ia rasa bagaikan satu kuasa besar.”

    Dia mempunyai ‘saat istimewa’ bagaimana menggunakan pengaruh besarnya dengan tanggungjawab yang lebih besar.

    Wanita berusia 39 tahun itu, yang dibesarkan di California Selatan dan New Mexico, sentiasa mengambil perhatian apabila orang Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik tidak hadir dalam filem, rancangan TV atau buku sejarah. Ia menyumbang kepada isu yang mempersoalkan rasa diterima di Amerika.

    “Ia sentiasa menjadi masalah yang menghantui diri saya semasa saya membesar,” kata Cho, yang baru-baru ini menamatkan ijazah sarjana dalam terapi seni. “Jadi, saya sentiasa mempunyai soalan ini, ‘Saya tertanya-tanya sama ada saya boleh menggunakan kegembiraan ini untuk menangani rasa kesakitan yang pernah dialami?’ Dan biskut merupakan jawapannya.”

    Beberapa bulan selepas membuat wajah biskut pertama, Cho mengadakan pertunjukan galeri potret pertamanya. Dia membuat biskut orang asli Pittsburgh Asia Amerika seperti pelakon Ming-Na Wen dan Leah Lizarondo, pengasas 412 Food Rescue, yang mengurangkan pembaziran makanan di lebih 25 bandar di Amerika Syarikat dan Kanada dengan mengagihkan makanan yang tidak terjual kepada orang yang memerlukan.

    Lizarondo masih ingat betapa terkejutnya dia apabila mendapati Cho telah membuat biskut wajahnya. Bagi warga Filipina Amerika, penghormatan itu pastinya bukan pembaziran makanan.

    “Saya berkongsinya seluas mungkin kerana saya sangat bangga menjadi antara orang yang dilukis potret biskut,” kata Lizarondo melalui e-mel.

    Walaupun biskut dan penghormatan kek mungkin dianggap bodoh, Lizarondo melihat sesuatu yang berbeza dalam seni Cho.

    “Ia adalah cara yang mudah untuk memulakan perbualan,” kata Lizarondo.

    Bekerja sendirian, Cho memerlukan antara empat dan enam jam untuk satu potret. Dia melukis muka biskut dengan tangan, mengisinya dengan aising dan kemudian membiarkannya kering.

    ‘Aktivisme seni’ beliau telah membawanya ke tempat yang menarik. Pada 2019, dia menulis dan melukis gambar untuk buku kanak-kanak, Role Models Who Look Like Me.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia telah membuat lebih 20 penampilan secara maya dan bersemuka di universiti, sekolah rendah dan persidangan. Jika dia tidak menyampaikan ucapan, dia menganjur bengkel menghias biskut.

    Keseronokan terbesar adalah apabila anak muda Asia Amerika, terutamanya wanita, berasa terinspirasi.

    “Mereka memberitahu saya perkara seperti, ‘Saya belajar lebih banyak dalam ceramah 15 minit awda berbanding semasa dalam kelas saya tentang sejarah Asia Amerika,’ kata Cho.

    Pada masa apabila permintaan untuk sejarah Asia Amerika dimasukkan dalam kurikulum sekolah boleh membuatkan awda dianggap sebagai ‘rasis’, malah biskut Cho yang tidak bermaksud untuk menyakitkan hati boleh menjadi sasaran. Sebelum lawatan universiti Februari lalu, seseorang yang disangka seorang wartawan pelajar oleh Cho meminta untuk bercakap dengannya. Cho kemudian mendapat tahu bahawa orang itu bukan pelajar tetapi sebahagian daripada kumpulan sayap kanan. Pihak sekolah memutuskan untuk meningkatkan keselamatan untuk acara itu – sesuatu yang mengejutkannya.

    “Ia hanya biskut,” kata Cho. “Malangnya, sesuatu seperti biskut boleh dilihat sebagai ancaman kerana apa yang dilambangkannya.”

    Ia pastinya bukan sekadar biskut. Ia boleh membangkitkan kenangan menyedihkan.

    Cho membuat potret biskut Betty Ong, seorang pramugari American Airlines yang meninggal dunia pada 9/11. Ong menerima pujian sebagai orang pertama yang mengeluarkan amaran tentang rampasan pengganas, menyampaikan maklumat penting dari telefon di pesawat malang itu. Salah seorang anak saudaranya melihat ciptaan Cho di Instagram dan menghubunginya.

    “Untuk ahli keluarga menghubungi saya dan berterima kasih kepada saya kerana berkongsi kisahnya dengan cara yang saya lakukan … mengingatkan saya tentang kasih sayang yang datang dengan kerja ini, kepentingannya,” kata Cho. “Saya tidak pernah mahu menyusahkan ahli keluarga dalam apa cara sekalipun. Saya sangat bersyukur kerana mereka memahami niat saya.”

    Cho menganggarkan dia mempunyai antara 50 dan 70 potret biskut yang kini disimpan dalam stor. Dia berhasrat memberikan beberapa ciptaannya kepada subjek (seperti Michelle Yeoh). Yang lainnya dia akan pamerkan serta menerbitkan buku bergambar.

    Walaupun dengan pujian daripada keluarga, selebriti dan Instagram, Cho masih mempunyai saat-saat apabila dia bersikap acuh tidak acuh tentang kerjanya sendiri. “Saya akan berkata, ‘Saya hanya membuat biskut. Apa yang saya buat sebenarnya?’”

    Tetapi kemudian dia berasa kembali bersemangat apabila bertemu penonton yang tidak pernah mendengar tentang tokoh seperti aktivis hak sivil Grace Lee Boggs atau perenang Sammy Lee, lelaki Asia Amerika pertama yang memperoleh emas Olimpik. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda