BANGKOK, 24 OGOS – Seorang artis hip-hop Burma berusia 38 tahun didapati bersalah mengkritik kerajaan Myanmar yang dikawal tentera dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun, kata seorang ahli keluarga hari ini.
Hukuman yang dijatuhkan kelmarin terhadap Byu Har, juga dikenali sebagai Min Oat Myanmar, nampaknya paling berat setakat ini diberikan kepada mana-mana selebriti yang ditahan kerana mengkritik pemerintah tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi pada 2021.
Byu Har telah ditangkap di apartmennya di Yangon pada 24 Mei, beberapa jam selepas dia mengkritik keras Min Aung Hlaing, ketua kerajaan tentera, dan menteri kuasa elektrik.
Dalam penstriman langsung di laman Facebooknya, dia mendakwa mereka gagal membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi ke Yangon, bandar terbesar Myanmar.
Dalam penstriman langsung itu dia menggelar Min Aung Hlaing sebagai ‘tidak cekap’ dan menteri elektrik sebagai ‘bodoh’, mengatakan bekalan elektrik telah dibekalkan dengan lebih baik semasa pemerintahan Suu Kyi.
Lima hari selepas penahanannya, media kerajaan mengumumkan dia telah ditahan kerana menghasut dan menyebarkan propaganda yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Di Myanmar, juga dikenali sebagai Burma, gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan telah menjadi beban utama. – AP