HAIKOU – Di studio Kuznetsova Aleksandra di Haikou, ibu kota wilayah pulau Hainan di selatan China, lukisan minyak Katedral St Basil tergantung di samping potret seorang wanita anggun dari etnik minoriti Li, mencerminkan dua aspek berbeza dalam kehidupan seniman tersebut.
Berasal dalam keluarga artis, wanita Rusia berusia 24 tahun itu jatuh cinta dengan lukisan sejak kecil. Enam tahun lalu dia berpindah ke Hainan, di mana dia menubuhkan studionya sendiri.
Minatnya terhadap budaya Cina bermula ketika dia baharu berusia 10 tahun.
“Saya tidak mempunyai guru bahasa Mandarin,” katanya. “Saya belajar bahasa itu melalui internet, buku dan TV. Saya suka budaya negara ini.”
Pada tahun 2018, didorong oleh minatnya, Aleksandra datang ke Hainan untuk belajar, di mana dia terpikat dengan keindahan semula jadi pulau itu yang tenang dan gaya kehidupan yang santai.
“Ia merupakan tempat yang sangat cantik, dan orang di sini baik hati, ramah dan benar-benar sederhana,” katanya.
“Perjalanan hidup bergerak dengan perlahan, membolehkan mereka selaras dengan alam semula jadi.”
Dia menyatakan berada di Hainan membolehkannya meneroka alam semula jadi dan kemanusiaan secara mendalam dalam karya seninya, yang merupakan subjek kegemarannya.
Masyarakat dan budaya etnik tempatan menjadi sebahagian daripada hidupnya apabila dia mengembara di sekitar pulau itu bersama suaminya, yang ditemuinya di Hainan. “Kami meneroka ke tengah-tengah Hainan, bertemu dengan pelbagai komuniti. Ketika itulah saya pertama kali bertemu dengan orang Li,” katanya.
Kain songket Li memberikan kesan yang mendalam kepadanya. Ia merupakan tekstil tradisional dari kumpulan etnik Li di Hainan, dikenali sebagai fosil hidup dalam industri tekstil, dengan sejarah menjangkau lebih 3,000 tahun.
“Apa yang awda lihat adalah seorang wanita yang sedang melakarnya (broked), menceritakan kisah yang disampaikan oleh generasi sebelum dia, seperti Dalishen,” jelasnya.
Dia kemudian cuba menangkap corak dan totem rumit yang terdapat pada kain songket itu dalam lukisannya, menggabungkan budaya tempatan ke dalam karyanya, satu proses yang dirasakannya sangat memuaskan. – Xinhua