Gambar AFP
KAHERAH – Jenama mewah Mesir sedang memanfaatkan kepakaran bertukang tradisional daripada reka bentuk barang kemas hingga tenunan permaidani untuk membawa kekayaan budaya purba negara itu ke seluruh dunia.
Pakar dalam sektor itu berkata daya tarikan global reka bentuk Arab dan Islam dari negara lain menunjukkan Mesir boleh melakukan lebih banyak untuk mempromosikan warisan seninya yang kaya dan berusia ribuan tahun.
Salah seorang pelopor dalam bidang itu adalah Azza Fahmy, seorang tukang emas yang terkenal, yang karya seni Islamiknya telah digayakan oleh golongan berada dan terkenal termasuk penyanyi pop Amerika, Rihanna dan Ratu Jordan, Rania.
Azza, yang bermula di sebuah bengkel di Kaherah Lama kira-kira 50 tahun yang lalu, berkata fokusnya adalah reka bentuk yang ‘sepadan dengan identiti Mesir’.
Seniman dan artisan di Mesir, negara yang paling ramai penduduknya di dunia Arab, merujuk kepada sejarah yang meliputi zaman Firaun purba, Mamluk, Uthmaniyyah, dan zaman moden.






“Kami beruntung kerana dapat merujuk kepada 6,000 tahun sejarah,” kata pereka tekstil Goya Gallagher, pengasas Malaika Linens yang berpusat di Kaherah, yang menghasilkan barangan rumah serba mewah.
“Cabaran utama adalah memastikan produk kami tak lapuk dek zaman, ia dihasilkan dengan sangat baik dan sentiasa dibuat dengan tangan,” katanya di bengkel syarikat di pinggir barat Kaherah.
Cabaran menggunung
Walaupun Mesir mempunyai beberapa kisah kejayaan dalam perniagaan, ramai lagi pengeluar barangan mewah menghadapi pelbagai cabaran untuk mengintai pasaran tempatan dan antarabangsa.
Dalam era pengeluaran besar-besaran global, bilangan tukang seni terlatih di Mesir semakin berkurangan, dengan ramai anak muda meninggalkan kemahiran keluarga yang diwarisi turun-temurun.
Ketika perniagaan bergelut untuk mengisi jurang bakat, mereka juga menghadapi krisis ekonomi yang menyakitkan yang telah merosakkan nilai mata wang tempatan dan mengehadkan import bahan mentah.
Sementara itu, usaha kerajaan untuk menyokong sektor kraf tangan adalah ‘terhad dan tidak konsisten’, kata Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perunding kebudayaan Dina Hafez bersetuju bahawa Mesir tidak menawarkan banyak latihan formal dalam seni dan kraf tangan.
“Latihan artisan pada asasnya masih bergantung kepada pendidikan informal dan rangkaian perantisan,” kata Dina.
“Sektor ini tidak mempunyai struktur yang jelas. Kita memerlukan ekosistem sebenar. Namun buat masa ini, semuanya bergantung pada inisiatif peribadi.”
Beliau berkata Mesir boleh belajar dari Turkiye dan Maghribi, ‘di mana peluang dan rintangan nampak serupa dengan Mesir’, tetapi berjaya melancarkan ‘reka bentuk mereka ke persada antarabangsa’.
Kekuatan lembut
Walaupun begitu, perubahan sedang berlaku.
Azza, pereka barang kemas, berkata masih terdapat ruang dalam pasaran untuk karya-karya yang dihasilkan oleh artisan mahir dan ‘pereka yang baik dengan minda kreatif dan pendidikan berkualiti’.
Ramai pereka berharap mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan untuk menarik pelaburan dan pendapatan pelancongan daripada keajaiban purba negara ini.
Di Muzium Mesir Besar yang terletak di kaki piramid Giza, kedai-kedai mewah Mesir menikmati kelebihan itu.
Walaupun pembukaan rasminya telah lama ditangguhkan, muzium itu menawarkan lawatan dan acara terhad, dan kedai-kedai itu sudah ‘mempamerkan kraf terbaik Mesir’, kata pemilik salah satu kedai, Mohamed al-Kahhal.
Di pusat bersejarah Kaherah, syarikat linen Malaika melatih wanita daripada latar belakang yang terpinggir dalam sulaman dan menjual hasil karya mereka kepada pelanggannya dan kepada jenama fesyen dan tekstil lain.
Pembuat permaidani Hend al-Kahhal juga berusaha dengan semangat yang sama, membawa identiti Mesir ke peringkat global.
Berdiri di atas bumbung kilang di mana karya-karya dari bulu dan sutera tergantung untuk dikeringkan, Kahhal berkata bahawa perniagaan keluarga itu bekerjasama dengan pereka-pereka ‘untuk memberikan sentuhan kontemporari kepada motif Firaun dan Mamluk’.
Majlis Eksport Kraftangan Mesir, di bawah kementerian perdagangan dan industri, telah lama berusaha untuk mempamerkan hasil kreatif Mesir di peringkat antarabangsa.
Namun, Dina, perunding kebudayaan, berkata beliau berharap akan ada lebih banyak kemajuan pada masa depan, kerana selalunya ‘kekangan belanjawan, birokrasi, dan peraturan kastam tidak membuat segalanya lebih mudah’.
Persoalannya adalah sama ada ‘pihak berkuasa Mesir benar-benar menyedari kekuatan halus yang dimiliki oleh pencipta-pencipta ini’, katanya. – AFP

