Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Menganyam objek menarik daripada jerami

    CHINA – Apakah perkara pertama yang timbul dalam fikiran apabila awda memikirkan tentang jerami kering? Kebanyakan orang mungkin melihatnya sebagai timbunan bahan buangan di ladang petani.

    Bagaimanapun, Wu Cui, pewaris kebudayaan tidak ketara, boleh mengubah jerami, sisa buangan daripada gandum yang sudah dituai menjadi karya seni yang amat menarik.

    “Bahan paling lazim, seperti jerami, kulit jagung dan mensiang, pernah diproses oleh tangan tukang seni, boleh diubah menjadi objek menarik,” kata Wu, tukang memintal jerami dari daerah Helan, rantau autonomi Ningxia Hui di barat laut China.

    Menganyam jerami adalah satu kaedah menghasilkan barangan harian atau karya seni dengan memintal jerami. Ia disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara China pada 2008.

    “Teknik itu mempunyai sejarah yang berakar-umbi di China dan telah memainkan peranan besar dalam kehidupan harian penduduk biasa, sama ada mereka memakai selipar atau topi yang dibuat daripada jerami, atau menggunakan bakul jerami atau tikar jerami,” jelas Wu, 28, waris pemintal jerami generasi keenam.

    Wu Cui membuat dinosaur yang dianyam daripada jerami di sebuah studio di Beijing. – ANN/China Daily
    Dua burung jenjang jerami yang dicipta Wu. – ANN/China Daily

    Produk jerami paling awal yang dipintal ditemui di puing Budaya Hemudu, tapak kebudayaan Neolitik yang terletak di wilayah Zhejiang, timur China. Buku Upacara, salah satu hasil karya klasik era Confucias, juga merekodkan terdapat tikar yang dibuat daripada rumput gelagah dan pertukangan menganyam jerami profesional semasa Dinasti Zhou (kurun 11 hingga 256 Tahun Masihi).

    Bagi Wu, keluarganya telah menyediakan banyak sokongan, sementara kawasan desa, di mana dia melibatkan diri dalam seni itu, menjadi sumber inspirasi untuk kerjanya.

    “Leka dalam suasana dan dengan keghairahan mempelajari teknik itu, saya menjadikan pemintal jerami pekerjaan saya dan bermula dari asas selepas tamat pengajian dari universiti dua tahun lalu,” ujar Wu. Kini, dia bekerja di sebuah syarikat di Beijing yang menumpu pada promosi kraf tradisional, seperti memintal jerami dan membentuk arca tanah liat.

    Wu juga menyifatkan bapa saudaranya, waris penganyam jerami generasi kelima, sebagai guru pertamanya.

    “Semasa kecil, saya gemar menangkap belalang dan masih ingat bagaimana bapa saudara saya mengajar saya membuat kurungan belalang, hasil ciptaan memintal jerami pertama saya,” kenangnya.

    Untuk menyiapkan sesuatu kerja, Wu berkata dia amat teliti dengan perancangan, pengeluaran dan penyemakan, satu amalan yang diikuti oleh wanita muda itu dalam setiap kerjanya. Karya berlainan memerlukan bahan berlainan, menurut Wu, menambah produk yang dimodel berdasarkan serangga biasanya dibuat menggunakan daun daripada pokok palma atau mensiang, sementara topi, bakul kecil dan haiwan besar kebanyakannya dibuat menggunakan jerami.

    Wu menjelaskan proses menganyam jerami: “Apabila gandum sudah masak, petik bahagian atas jerami, yang mempunyai tangkai gandum, kerana ia lebih panjang.

    Kemudian ikatkan dan keringkan tangkai tersebut. Sebelum menganyam, jerami perlu direndam dalam air panas untuk menjadikannya lebih fleksibel dan mengelak daripada putus.”

    Orang yang biasa mungkin memikirkan kerja hanya membabitkan anyaman sebenar.

    Bagaimanapun, menurut Wu, pemilihan bahan adalah langkah pertama dalam proses kompleks itu, memakan masa dan intensif pekerja yang boleh mengambil beberapa minggu, malah beberapa bulan untuk siap.

    “Awda perlu melakarkan objek di atas kertas, yang memerlukan kemahiran melukis, dan juga memikirkan struktur tiga dimensinya. Seterusnya proses menganyam, membentuk dan akhirnya memelihara karya itu,” tambah Wu.

    “Walaupun dengan mengikut proses itu, ia tidak bermakna awda akan sentiasa menghasilkan karya yang bagus, dan bahagian paling sukar adalah menjadikannya tampak hidup dan padu,” kata Wu, menambah dia akan membuka kesemua bahagian dan mencuba sekali lagi.

    Menurut Wu, semasa dia masih kecil, objek jerami yang dianyam boleh ditemui di hampir kesemua rumah di kawasan desa, seperti topi jerami dan kasut jerami kerana ia adalah praktikal dalam kehidupan harian. “Disebabkan kesan perindustrian, barang perkilangan atau pembuatan telah mengganti produk tersebut, yang menghasilkan keuntungan yang rendah, dan hanya terdapat kira-kira 100 individu yang terbabit dalam kerja tersebut di seluruh negara,” katanya.

    “Dunia telah berubah, dan artisan perlu mengatasi isu praktikal dan memburu bakat serta keindahan seni budaya jerami untuk membantu kraf tersebut bertahan dan berkembang maju,” katanya.

    Daripada perspektifnya, memintal jerami harus memberikan respons terhadap keperluan dan pilihan, sementara masih menerima inspirasi daripada budaya tradisional.

    Dalam kehidupan moden hari ini, orang mempunyai impian untuk menerima alam semula jadi dan mencari keseronokan dalamnya, ujar Wu, menambah memintal jerami boleh memenuhi keperluan rohaniah dan budaya seseorang.

    “Misalnya, warisan budaya tidak ketara telah menjadi semakin penting di kampus, dan saya selalu dijemput untuk mengajar pelajar mengenai sejarah dan menunjukkan cara-cara memintal jerami,” katanya, menambah pelajar amat berminat untuk mempelajarinya.

    “Kami juga mempamerkan karya yang popular di pasaran di pejabat kami, yang sentiasa menarik perhatian orang ramai.

    “Dengan menduduki satu tempat di pasaran dan menawan hati pengguna, lebih ramai orang akan memahami budaya di sebalik teknik, dan lebih ramai artisan akan digalakkan untuk mengabdikan diri mereka kepadanya sebagai satu kerjaya,” tambahnya.

    “Disebabkan penekanan kerajaan ke atas kraf tangan berharga ini, memintal jerami akan mempunyai profil awam yang lebih besar.” Buat masa sekarang, China telah menubuhkan sistem bertingkat warisan budaya tidak ketara, menjangkau peringkat negara, wilayah, perbandaran dan daerah, serta telah mengenal pasti lebih daripada 100,000 wakil produk untuk setiap peringkat.

    “Untuk anyaman jerami berkembang, artisan harus bekerjasama untuk memahami trend dan peluang untuk menghasilkan produk baharu dan relevan,” katanya.

    Apabila ditanya mengenai rancangannya, Wu berkata dia bercita-cita menyelami lebih mendalam tentang budaya tradisional tempatan dan mencipta produk kreatif dari segi budaya dengan menggunakan teknik menganyam jerami.

    “Saya akan cuba menghasilkan produk berdasarkan model lukisan Helan Mountain, yang kaya dengan sejarah dan mengambil langkah-langkah untuk membawa kegemilangan baharu kepada kraf tradisional lama,” katanya. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...