WASHINGTON, 6 OGOS – Washington kelmarin membatalkan hak mendapatkan pelepasan visa ke Amerika Syarikat (AS) kepada warga asing yang pernah ke Korea Utara sepanjang lapan tahun lalu, yang dilihat sebagai satu lagi tamparan baharu kepada industri pelancongan negara yang terasing itu.
AS membenarkan rakyat dari 38 negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Perancis memasuki AS sehingga 90 hari tanpa visa di bawah program pengecualian.
Namun pengunjung yang pernah pergi ke lapan negara termasuk Korea Utara sejak 1 Mac 2011 tidak lagi layak, menurut butiran yang disiarkan semalam di laman web Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dan mereka juga perlu memohon visa pelancong atau perniagaan.
Tujuh negara lain yang kebanyakannya di Asia Barat sudah pun berada dalam senarai pengecualian terbabit.
Perubahan itu akan menjejaskan puluhan ribu pengunjung dari negara yang menikmati pelepasan visa yang pernah ke Korea Utara sebagai pelancong atau untuk tujuan lain beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia juga akan menghambat harapan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dalam mempromosi projek pelancongan rentas sempadan bagi rakyatnya untuk melawat ke negara jiran mereka yang bersenjata nuklear.
Warga AS dilarang masuk ke Korea Utara sejak 2017, satu langkah yang diperkenalkan selepas seorang pelajar AS ditahan di Pyongyang dibebaskan dalam keadaan koma dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. – AFP