WASHINGTON, 24 JAN – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah menahan 538 pendatang dan menghantar pulang ratusan orang dalam operasi besar-besaran hanya beberapa hari selepas pentadbiran kedua Presiden Donald Trump bermula, kata setiausaha akhbarnya lewat kelmarin.
“Pentadbiran Trump telah menahan 538 penjenayah pendatang haram,” kata Karoline Leavitt dalam hantaran di platform sosial X, sambil menambah bahawa ratusan telah dihantar pulang menggunakan pesawat tentera. “Operasi pengusiran terbesar dalam sejarah sedang berjalan lancar. Janji ditepati,” katanya.
Trump berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap imigresen haram semasa kempen pilihan raya dan memulakan penggal keduanya dengan beberapa tindakan eksekutif yang bertujuan merombak kemasukan ke AS.
Bandar Newark, Ras J Baraka, kelmarin berkata dalam satu kenyataan berkata bahawa ejen Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) telah “menyerbu sebuah premis tempatan dan menahan penduduk tanpa dokumen serta warganegara, tanpa mengemukakan waran”.
Beliau turut menyatakan bahawa salah seorang yang ditahan semasa serbuan itu ialah seorang veteran tentera AS. Tindakan melampau ini jelas melanggar Perlembagaan AS, katanya.
Dalam satu hantaran di platform X, ICE menyatakan “kemaskini penguatkuasaan adalah 538 tangkapan, 373 notis tahanan dikeluarkan.”
Senator Demokratik New Jersey, Cory Booker dan Andy Kim, menyatakan bahawa mereka amat prihatin terhadap serbuan oleh ejen imigresen di Newark.
“Tindakan seperti ini menimbulkan ketakutan dalam semua komuniti kita dan sistem imigresen kita yang rosak memerlukan penyelesaian, bukannya taktik menakut-nakutkan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Trump telah berikrar untuk melaksanakan “operasi pengusiran terbesar dalam sejarah AS,” yang dijangka akan memberi kesan kepada kira-kira 11 juta pendatang tanpa dokumen di AS. – AFP