Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS hapus pewarna tiruan aiskrim secara berperingkat

    WASHINGTON, 15 JULAI – Para pengeluar utama aiskrim di Amerika Syarikat (AS) kelmarin bersetuju untuk menghentikan penggunaan pewarna tiruan secara berperingkat menjelang akhir 2027, susulan tekanan daripada Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr., yang menyeru penghapusan bahan tambahan tidak perlu dalam diet rakyat negara itu.

    Langkah itu diumumkan oleh Persatuan Makanan Tenusu Antarabangsa (IDFA), yang mewakili lebih 40 jenama utama aiskrim. Organisasi itu menyatakan bahawa pewarna berasaskan petroleum yang sering digunakan semata-mata untuk mencantikkan warna produk, tidak lagi akan digunakan atas faktor kesihatan awam.

    Kajian sebelum ini mengaitkan bahan kimia tersebut dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk gangguan hiperaktif dan defisit perhatian (ADHD), kanser, diabetes, masalah pencernaan dan gangguan genetik. Bagaimanapun, pewarna itu tidak mempunyai sebarang nilai pemakanan atau fungsi penting.

    “Saya amat gembira hari ini kerana ia berkaitan dengan makanan kegemaran saya, iaitu aiskrim,” kata Kennedy semasa sidang media, sambil memuji kerjasama industri tenusu dalam memperbaiki kandungan pemakanan rakyat.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IDFA, Michael Dykes menyifatkan pengumuman itu sebagai ‘hari yang baik untuk industri tenusu dan hari yang lebih baik untuk kempen Make America Healthy Again,’ slogan kesihatan Kennedy yang menyerupai kempen politik Make America Great Again.

    Ketua Pegawai Eksekutif Turkey Hill, Andy Jacobs menyatakan ramai pengeluar aiskrim sudah mula mengurangkan penggunaan pewarna tiruan atau sedang dalam proses beralih kepada bahan semula jadi.

    “Dengan mengambil langkah ini, pengeluar aiskrim memastikan bahawa aiskrim kekal sebagai makanan istimewa rakyat sementara mengikut perubahan selera pengguna dan keutamaan pe-ngawalseliaan negara,” katanya. – AFP

    Robert F. Kennedy Jr. dan Setiausaha Pertanian AS, Brooke L. Rollins memegang kon ais krim semasa sidang akhbar di tangga Jabatan Pertanian AS di Washington, DC pada 14 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda