WASHINGTON, 29 APRIL – Perjanjian perdagangan pertama Amerika Syarikat (AS) mungkin dimeterai dengan India, kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent kelmarin.
“Saya menjangkakan India akan menjadi antara perjanjian perdagangan pertama yang akan kami tandatangani,” kata Bessent kepada CNBC, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Beliau mengimbas lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance ke India minggu lepas dan berbincang mengenai kemajuan besar dalam rundingan itu. Bessent turut menyatakan yang AS mengadakan rundingan yang sangat baik dengan rakan lain di Asia.
“Saya menyifatkan rundingan dengan Republik Korea berjalan dengan sangat baik dan kami juga mengadakan rundingan yang sangat bermakna dengan sekutu kami di Jepun,” katanya.
Vance pada Selasa berkata AS dan India memuktamadkan terma rujukan untuk rundingan perdagangan sambil berkata kemajuan yang sangat baik dicapai semasa perbincangannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Vance berkata pada Februari lepas, Presiden Donald Trump dan Modi mengumumkan rancangan untuk meningkatkan perdagangan dua hala lebih dua kali ganda kepada AS$500 bilion menjelang akhir dekad ini. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti
