WASHINGTON, 1 Feb – Ketua Pentagon baru James Mattis hari ini berkunjung ke Korea selatan dan Jepun, di mana beliau akan berusaha memberi jaminan kepada sekutu utama AS mengenai komitmen keselamatan Amerika di rantau itu.
Lawatan setiausaha pertahanan itu menandakan lawatan luar negara pertama untuk mana-mana pegawai kanan dalam kerajaan Presiden Donald Trump, yang mencadangkan ketika berkempen bahawa peranan lama Amerika di Asia Timur Laut mungkin berubah.
“Lawatan akan menekankan komitmen Amerika Syarikat terhadap perikatan kami dengan Jepun dan Republik Korea Selatan, dan seterusnya memperkukuh kerjasama keselamatan AS-Jepun-Republik Korea,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.
Ketika berkempen, Trump mengemukakan kemungkinan Jepun dan Korea Selatan melengkapi negara mereka dengan senjata nuklear, dan menuduh Seoul dan Tokyo tidak membayar bahagian yang adil untuk tentera AS yang ditempatkan di negara mereka.
Kira-kira 28,500 tentera AS ditempatkan di Korea Selatan dan 47,000 di Jepun.

Lawatan Mattis diadakan di tengah kebimbangan meningkat mengenai cita-cita nuklear Korea Utara dan perbalahan di antara Tokyo dan Seoul berhubung penggunaan hamba seks ketika Perang Dunia Kedua.
Menurut kementerian pertahanan Korea Selatan, ketua pertahanan Han Min-Koo dan rakan sejawatan baru AS berikrar semalam akan meneruskan dengan rancangan untuk menghantar sistem anti peluru berpandu AS pada tahun ini meskipun menerima bantahan marah daripada China.
Kedua-dua sekutu pada tahun lalu mengumumkan pemasangan sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD) ekoran beberapa siri ujian nuklear dan peluru berpandu oleh Korea Utara.
Pelan THAAD telah menimbulkan kemarahan China, yang bimbang ia akan melemahkan keupayaan balistiknya sendiri dan telah mengenakan beberapa langkah yang dilihat oleh Seoul sebagai tindak balas ekonomi.
Mattis akan memulakan lawatannya di Korea Selatan, di mana beliau akan bertemu dengan Han dan pegawai kanan lain. Kedua-dua negara dijangka mengadakan latihan tentera bersama tahunan mulai Mac. – AFP