TOKYO, 3 Feb – Mana-mana serangan nuklear oleh Korea Utara akan mencetuskan respons “efektif dan amat besar”, kata Setiausaha Pertahanan AS James Mattis hari ini tatkala beliau berusaha memberi jaminan kepada sekutu Asia yang bimbang dengan retorik Presiden Donald Trump.
Mattis bercakap di Seoul ketika lawatan luar negara pertama oleh seorang pegawai kanan pentadbiran Trump tatkala kebimbangan meningkat mengenai haluan dasar AS di rantau di bawah pemimpin fahaman perlindungan.
Beliau tiba di Tokyo pada lewat hari itu untuk menghadiri satu mesyuarat dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan dijangka mengadakan rundingan dengan menteri pertahanan Jepun Tomomi Inada esok.
Korea Selatan telah menikmati perlindungan AS sejak Perang Korea 1950-53, tetapi dalam kempen, Trump mengugut akan mengeluarkan tentera AS dari negara itu dan Jepun jika mereka tidak mempertingkat sokongan kewangan mereka.
Pyongyang masih “terbabit dalam retorik dan tingkah laku bersifat ancaman,” kata Mattis, yang pertama datang ke Selatan pada 1972 sebagai seorang leftenan berusia 21 tahun dalam tentera AS.
“Mana-mana serangan ke atas Amerika Syarikat atau sekutu kami akan ditewaskan dan sebarang penggunaan senjata nuklear akan dibalas dengan respons yang bersifat efektif dan besar,” beritahu Mattis kepada wartawan sebelum mesyuarat dengan rakan sejawatan Korea Selatan Han Min-Koo. – AFP