Monday, November 25, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS rampas pesawat Presiden Venezuela

    MIAMI, 3 SEPT – Amerika Syarikat (AS) telah merampas pesawat Presiden Venezuela, Nicolas Maduro di Republik Dominican dan menerbangkannya ke Florida kelmarin, satu langkah yang dikutuk oleh pemimpin Amerika Selatan itu sebagai ‘rompakan’ tetapi menurut Washington perlu disebabkan pelanggaran sekatan.

    Pegawai AS bertindak mengawal pesawat peribadi, Dassault Falcon 900EX yang digunakan oleh Maduro dan anggota kerajaannya, dengan Jabatan Kehakiman berkata pesawat itu dibeli secara haram.

    “Jabatan Kehakiman merampas sebuah pesawat yang kami dakwa dibeli secara haram dengan harga AS$13 juta melalui syarikat tanpa operasi perniagaan yang aktif atau aset penting dan diseludup keluar dari AS untuk digunakan oleh Nicolas Maduro dan kroninya,” kata Peguam Negara, Merrick Garland dalam satu kenyataan.

    Kementerian Luar Negeri di Caracas mengeluarkan kenyataan lewat kelmarin, mengecam rampasan itu.

    “Sekali lagi, pihak berkuasa AS terlibat dalam amalan jenayah yang tidak boleh digambarkan sebagai tidak lain tidak bukan selain rompakan,” kata kenyataan itu.

    Pesawat Presiden Venezuela Nicolas Maduro, sebuah jet peribadi Dassault Falcon 900EX, kelihatan setelah dirampas oleh pegawai penguatkuasa undang-undang AS di Fort Lauderdale, Florida. – AFP

    Tapak pengesanan pesawat Flightradar24 menunjukkan bahawa jet itu terbang dari Santo Domingo ke Fort Lauderdale pada pagi kelmarin.

    Republikan Dominican berkata ia tidak mengambil bahagian dalam siasatan AS terhadap jet itu.

    “Kerajaan Dominican mahupun pejabat pendakwa raya tidak mengambil bahagian dalam proses penyiasatan AS,” kata Menteri Luar Negeri Republik Dominican, Roberto Alvarez kepada pemberita, sambil menambah bahawa pesawat itu berada di wilayah Dominican untuk tujuan penyelenggaraan.

    AS mengatakan bahawa pada hujung 2022 dan awal 2023, individu yang berkaitan dengan Maduro didakwa menggunakan syarikat tanpa operasi perniagaan yang aktif atau aset penting yang berpangkalan di Caribbean untuk menyembunyikan penglibatan mereka dalam pembelian haram jet itu.

    Pesawat itu kemudiannya dieksport secara haram dari AS ke Venezuela melalui Caribbean pada April 2023. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda