Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Menteri Komuniti Sosiobudaya ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-27 yang diadakan secara persidangan video.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), semasa mesyuarat tersebut, menteri-menteri ASCC menyatakan sokongan terhadap tema Kemboja bagi ASEAN 2022 iaitu Addressing Challenges Together (ACT) yang menggariskan semangat kebersamaan ASEAN sebagai satu komuniti dan tujuan yang sama dalam usaha bersama serta menangani cabaran serantau.
Mesyuarat juga menggariskan pencapaian Tunggak ASCC setakat ini, dengan memfokuskan perbincangan kepada keutamaan tahun ini, antaranya mesyuarat mengalu-alukan kemajuan pelaksanaan berterusan Pelan Tindakan ASCC 2025 dalam membina komuniti yang melibatkan dan memberi manfaat kepada rakyat, inklusif, mampan, berdaya tahan dan dinamik.
Selain itu, mesyuarat menghargai penyediaan dokumen-dokumen hasil ASCC yang akan dihadapkan kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41, antaranya ASEAN Regional Guidelines on Safe School Reopening, Learning Recovery and Continuity, the Declaration on Digital Transformation of Education System throughout ASEAN.
Para menteri juga menggariskan pen-tingnya pemerkasaan belia dan wanita bagi mendukung pembangunan mampan rantau ASEAN, dan mengalu-alukan pengesahan Kenyataan Pemimpin-pemimpin ASEAN bagi 2022 sebagai Tahun Belia ASEAN dan ASEAN Declaration on Building More Sustainable, Inclusive and Resilient Future: Unlocking Women’s Entrepreneurship in ASEAN, peranan penting sukan dalam pembangunan Komuniti ASEAN, yang juga mendokong ke arah merealisasikan Matlamat ASEAN2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 juga diberi tumpuan.
Dalam hal ini, mesyuarat mengalu-alukan penyediaan Declaration on Leveraging the Role of Sports in ASEAN Community-Building and Achieving the SDGs; dan Declaration on Fostering ASEAN Identity through the Safeguarding of Traditional Sports and Games (TSG) in the Modern World.
Mesyuarat juga mengalu-alukan beberapa inisiatif pengurusan bencana yang juga selaras dengan pelaksanaan ASEAN SHIELD, termasuk penyediaan Terma Rujukan ASEAN Disaster Resilience Platform dalam memastikan pendekatan whole-of-ASEAN dalam pengurusan bencana.
Para menteri turut mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat ASEAN melalui kerjasama berterusan dalam bidang kesihatan, perlindungan sosial, kebudayaan dan industri kreatif.