Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aset rizab M’sia berjumlah AS$112.79 bilion

    KUALA LUMPUR, 31 MEI – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$112.79 bilion pada akhir April 2024 manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$403.7 juta, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

    Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata butiran terperinci rizab antarabangsa memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain yang mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

    Ia turut memberi jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

    “Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan April 2024 tetap boleh guna,” katanya.

    Bank pusat itu berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing yang antara lainnya termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah AS$15.35 bilion.

    “Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah AS$27.69 bilion pada akhir April 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

    Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda