Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASP Haji Mohammad Termizi sertai program IVLP di AS

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, memaklumkan bahawa Ketua Hal Ehwal Antarabangsa, INTERPOL dan ASEANAPOL, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohammad Termizi bin Dr Haji Awang Mohammad Yusop mengadakan lawatan ke AS sebagai peserta bagi Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP) 2019, Jabatan Negara AS.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan AS di sini, hari ini, program bertajuk ‘Kerjasama Ancaman Global (Global Threat Cooperation)’ itu bermula hari ini hingga 18 Oktober. Program itu akan mengkaji mengenai landskap ancaman transnasional dan peranan kerjasama global dalam menangani ancaman berkenaan.

    Para peserta program akan memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai sifat pluralistik AS menerusi pendedahan terhadap isu-isu sekuriti utama termasuk sekuriti siber, maklumat palsu, keganasan, mengatasi keganasan ekstremisme, jenayah terancang transnasional, tenaga dan ancaman serantau.

    Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa program berkenaan akan dijalankan di empat buah lokasi di AS iaitu Washington D.C., New York, Colorado dan Florida.

    Baru-baru ini, ASP Haji Mohammad Termizi telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Sekuriti Serantau, Nadim Abdush-Shahud yang mengucapkan tahniah kepada ASP Haji Mohammad Termizi atas pemilihannya bagi menyertai program berkenaan.

    Beliau menyatakan lagi bahawa program itu akan memberikan ASP Haji Mohammad Termizi peluang untuk berinteraksi dengan para pakar dalam mencari pendekatan dan melaksanakan dasar yang mampu untuk meningkatkan koordinasi di kalangan agensi, mempromosi perkongsian maklumat dan meningkatkan kerjasama dengan rakan-rakan luar negara.

    Sementara itu, ASP Haji Mohammad Termizi dipetik menyatakan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan AS kerana memberikannya penghormatan serta peluang untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan.

    ASP Haji Mohammad Termizi (tengah) dipilih untuk menyertai Program IVLP di AS bermula 30 September hingga 18 Oktober. – Gambar Kedutaan AS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda