Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aspirasikan generasi baharu saintis

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan UBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Komunikator sains yang memenangi anugerah dari University of East Anglia (UEA), Profesor Stephen Ashworth telah membuat pertunjukan sains, Kitchen Chemistry, di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, Profesor Ashworth mempunyai pengalaman bertahun-tahun menarik perhatian khalayak ramai di United Kingdom (UK) dan peringkat antarabangsa.

    Selain Profesor Ashworth, pasukan berkenaan terdiri daripada Profesor Madya Dr Sue Matthews dari UEA; Profesor Madya Dr Roslinawati binti Mohd Roslan dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE) UBD; dan Guru Pendidik dari SHBIE, Profesor Madya Dr Masitah Shahrill.

    Dalam pertunjukan yang memukau tersebut, Profesor Ashworth berhasrat untuk memberi inspirasi kepada generasi baharu saintis dengan menunjukkan kimia menggunakan bahan biasa, bahan harian dan peralatan yang tidak canggih.

    Pertunjukan itu dibawakan kepada orang ramai, terutamanya pelajar daripada semua peringkat umur.

    Kitchen Chemistry ialah sebahagian daripada kerjasama yang dibiayai oleh British Council antara UBD dan UEA.

    UBD dan UEA baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan kerjasama, perbincangan dan hubungan akademik.

    Selain kerjasama dalam projek penyelidikan bersama, kedua-dua universiti mengharapkan pertukaran pelajar dan kakitangan akademik.

    Profesor Stephen Ashworth membuat pertunjukan sains menggunakan bahan-bahan biasa yang mudah didapati.
    Antara yang hadir menyaksikan pertunjukan sains tesebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda