Monday, July 14, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atikah pangku anak lima jam dalam kereta

    Gara-gara menonton sebuah video di platform TikTok, pelakon Malaysia, Datin Atikah Suhaime mengakui berasa takut untuk meletakkan puteri sulungnya di dalam kerusi keselamatan anak damit semasa pulang ke Singapura baru-baru ini.

    Atikah berkata, sebagai ibu yang baru kali pertama menimang cahaya mata, dia sentiasa berusaha mencari maklumat mengenai keselamatan anaknya namun tidak menyangka berita yang dilihat di media sosial itu mempengaruhi dirinya ketika itu.

    “Saya rasa semua orang yang kali pertama menjadi ibu ada perasaan yang sama. Kita pula bukan tengok sumber yang betul. Saya tengok TikTok dan terus percaya,” katanya kepada mStar.

    Atikah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan episod pertama My Stupid Boss: The Animated Series yang berlangsung di Petaling Jaya pada petang Jumaat.

    Menurut Atikah, video yang ditonton memberi amaran bahawa kerusi keselamatan anak damit boleh menjadi ‘pembunuh senyap’ kerana dikatakan boleh mengganggu pernafasan anak damit sekiranya digunakan terlalu lama.

    Atikah sanggup lakukan apa saja untuk anak. – mStar

    “Sebenarnya saya selalu letak Mulan dekat car seat tapi bila ternampak video TikTok yang mengatakan anak damit tak boleh terlalu lama berada dalam car seat kerana bimbang tak boleh bernafas terus saya jadi takut.

    “Dia bukan jerit, kadang kala kita tak tahu apa jadi pada dia dan ingat dia sedang tidur jadi saya paniklah,” luahnya.

    Disebabkan rasa trauma itu, Atikah sanggup memangku anaknya sepanjang lima jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura.

    Tambah Atikah, suaminya, Datuk Lokman Tea turut berasa bimbang dengan keputusan tersebut namun memilih untuk mempercayai nalurinya sebagai seorang ibu.

    Sebelum ini, nama Atikah menjadi bualan warganet selepas mendakwa kerusi keselamatan anak damit tidak selamat untuk digunakan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda