BARCELONA, 26 FEB – Atletico Madrid mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum bangkit
dalam keputusan seri mendebarkan 4-4 menentang Barcelona pada aksi separuh akhir pertama Copa del Rey, semalam.
Pasukan kendalian Diego Simeone bermula garang dengan dua gol dalam enam minit pertama menerusi Julian Alvarez dan Antoine Griezmann. Namun, Barcelona segera meningkatkan tempo dalam aksi penuh intensiti.
Pedri Gonzalez yang cemerlang menjaringkan gol pertama Barca sebelum Pau Cubarsi, Inigo Martinez dan Robert Lewandowski menambah jaringan untuk kelab Catalan itu.
Atletico tidak menyerah kalah, dengan Marcos Llorente merapatkan jurang sebelum Alexander Sorloth menyamakan kedudukan pada minit ke-93, menjadikan perlawanan timbal balik di Stadium Metropolitano pada 2 April nanti semakin sengit.
“Ia keputusan yang teruk apabila awda sudah mendahului 4-2… kami perlu lebih berhati-hati, ini sesuatu yang perlu kami pelajari,” kata Pedri kepada Movistar.
“Hari ini kami bermula dengan buruk tetapi saya mahu memberi tumpuan kepada cara pasukan bertindak balas.
“Apabila kami di hadapan, kami perlu lebih tenang… ia akan menjadi perlawanan sukar (di tempat lawan) tetapi kami akan pergi ke sana untuk menang.” – AFP
