Baru selesai menunaikan ibadah haji, persona-liti media sosial Indonesia, Atta Halilintar sempat melakukan ibadah korban bersempena perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Atta, 29, memberitahu dia menumbangkan 22 ekor lembu dan kambing di Jakarta, Indonesia pada Isnin.
YouTuber tersebut memberitahu angka itu dipilih kerana simbolik dengan tarikh lahir anak sulungnya, iaitu Ameena.
“Alhamdulillah, tahun ini saya dan isteri boleh korbankan 22 ekor binatang korban (seperti tarikh lahir anak, 22 Februari 2022),” katanya, menurut mStar.
Atta berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram (IG) miliknya pada Isnin.
Bagaimanapun, maklumat terperinci tidak diberikan berhubung jumlah setiap lembu dan kambing yang dikorbankan.
Daripada foto yang dimuat naik di IG Youtuber itu, kesemua daging korban diedarkan di kawasan pejabatnya, iaitu AHHA Korpora Indonesia.
Para pekerjanya dilihat sedang bertugas memotong dan mengagihkan daging korban kepada penduduk di sekitar bangunan pejabat mereka yang terletak di Ciputat Timur, Tangerang Selatan.
Sementara itu, Atta juga berhasrat mahu menyumbangkan tiga ekor haiwan korban kepada pengikutnya. – Agensi